16 NOVEMBER 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar atas kunjungan hormat serta amanat berharga beliau sempena Program Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Negeri Kedah Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.

Dalam lawatan kerja beliau ke Negeri Kedah, Tan Sri Shamsul Azri menegaskan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) sebagai pemangkin peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam. Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 1,100 projek RKB telah berdaftar di seluruh negara, dengan 141 projek sudah berjaya dilaksanakan, merangkumi Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi pusat kerajaan persekutuan.

Menurut beliau, penyempurnaan 141 projek tersebut bukan sahaja memperkemas proses kerja, malah turut membawa pulangan besar kepada kerajaan.

“Melalui peningkatan kecekapan proses dan penyusunan semula aliran kerja, kita berjaya menjimatkan RM1.4 bilion hasil pelaksanaan projek-projek RKB ini,” ujar Tan Sri.

Kesemua projek ini dipilih melalui proses saringan ketat oleh MPC serta pengurusan KSN bagi memastikan hanya inisiatif pemudahcara terbaik diberi pengiktirafan.

MPKK turut berbangga apabila dua projek RKB daripada pihak majlis terpilih menerima Sijil Penghargaan Khas KSN, iaitu:

1. Kelulusan Kebenaran Merancang Pantas

2. Kelulusan Pelan Landskap Pantas

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen MPKK untuk meningkatkan keberkesanan sistem perkhidmatan, selain menyokong penuh agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Turut hadir sama dalam program ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Seri Norizan Khazali, serta Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Dato’ Zepri Saad.

MPKK kekal komited untuk memperkukuh integriti, mempercepatkan proses perkhidmatan, dan memastikan rakyat terus menerima manfaat melalui pembaharuan yang dilaksanakan.

Klik untuk gambar sekitar program

#ProgramTekadBersamaPerkhidmatanAwamNegeriKedah2025

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content