







19 November 2025 — Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Sesi Dialog Senarai Nilaian Baharu Cukai Taksiran 2025 melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan masyarakat India dalam kawasan pentadbiran majlis.
Sesi berkenaan bertujuan memberikan penerangan terperinci mengenai pelaksanaan penilaian semula cukai taksiran serta menjawab persoalan yang dikemukakan oleh wakil komuniti. Dialog yang berlangsung di Kulim Inn itu turut menjadi platform bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada persatuan serta pemimpin komuniti berhubung pelaksanaan senarai nilaian baharu yang dijadualkan.
MPKK menekankan bahawa sesi libat urus ini merupakan komitmen berterusan pihak majlis bagi memastikan setiap keputusan pentadbiran dilaksanakan secara telus dan inklusif. Antara NGO serta persatuan yang terlibat termasuk organisasi kebajikan, belia, kebudayaan dan pertubuhan masyarakat India yang aktif di daerah Kulim.
YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK hadir bersama-sama para pengarah dan anggota yang terlibat bagi menjayakan sesi menyampaikan penerangan teknikal kepada peserta sesi dialog. PMgr. Sr. Fauziah binti Abdul Mutalib, Pengarah Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta telah memberi taklimat berkaitan Senarai Nilaian Baharu 2025 dalam program ini.
Sesi Semakan dan Bantahan dibuka sehingga 23 November 2025 ini. Orang ramai masih boleh membuat semakan atau mengemukakan bantahan terhadap Senarai Nilaian Baharu Cukai Taksiran sebelum atau pada 23 November 2025.
Bagi memastikan urusan masyarakat berjalan lancar, MPKK membuka Kaunter Semakan dan Bantahan oleh Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta sepanjang hujung minggu ini pada Jumaat, Sabtu dan Ahad (21- 23 November 2025) bermula jam 8.00 Pagi – 5.00 Petang menjelang tarikh akhir tersebut.
Kaunter beroperasi seperti biasa di Pejabat MPKK, Bandar Putra, bagi memudahkan penduduk hadir mendapatkan maklumat lanjut, membuat semakan atau menyerahkan bantahan.
Datanglah untuk semak, bertanya, atau mendapatkan penjelasan terus daripada pegawai MPKK. Kami sedia membantu!