Ketua Polis Kedah, YDH CP Datuk Adzli Bin Abu Shah, Tinjau PPS di Dewan Wawasan Jitra Kedah.




Jitra, 27 November 2025 — Ketua Polis Kedah, YDH CP Datuk Adzli Bin Abu Shah, turun padang hari ini bagi meninjau keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di Dewan Wawasan.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa berada pada tahap terbaik selain menilai keperluan semasa di pusat pemindahan berikutan pertambahan jumlah mangsa yang dipindahkan sejak beberapa hari lalu.
YDH CP Datuk Adzli meluangkan masa berinteraksi dengan mangsa, termasuk warga emas, golongan orang kelainan upaya (OKU) serta keluarga yang terjejas akibat banjir, bagi mengetahui keadaan mereka secara lebih dekat.
Dalam taklimat yang diberikan pasukan pengurusan PPS, beliau dimaklumkan mengenai operasi harian, penyelarasan bantuan, dan kesiapsiagaan keselamatan di lokasi tersebut. Beliau turut mengarahkan pegawai serta anggota bertugas meningkatkan rondaan terutama di kawasan yang ditinggalkan penduduk bagi mengelakkan insiden jenayah.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah akan terus bekerjasama rapat dengan jabatan dan agensi lain bagi memastikan kelancaran urusan pemindahan, kawalan trafik serta keselamatan sepanjang tempoh banjir.
Orang ramai disaran sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan keadaan cuaca masih tidak menentu.
Portal : https://pbt.kedah.gov.my/…/majlis-perbandaran-kubang-pasu/
Twitter : https://twitter.com/mpkubangpasu
Instagram : https://www.instagram.com/majlisperbandarankubangpasu/
Facebook : https://www.facebook.com/MPKubangpasu
WhatsApp Aduan : https://wa.link/c38jh1