RKB PERLU KERJASAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI DAN TEMPATAN – KSN
Jawatan itu bukanlah satu keistimewaan atau kelebihan tetapi jawatan itu adalah amanah dan sebagai seorang yang beragama Islam, amanah itu akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti apa yang anda telah buat dengan amanah yang telah diberikan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pada minggu pertama saya menggalas amanah sebagai Ketua Setiausaha Negara selama lebih satu tahun ini, saya mengumpulkan pegawai-pegawai muda kerajaan dalam satu simposium supaya mereka menyatakan pada masa hadapan apa yang ingin mereka lihat berkenaan perkhidmatan awam di negara ini.
“Seramai 43 pegawai-pegawai muda ini telah menggariskan apa yang ingin mereka lihat berkenaan perkhidmatan awam dan hasil dari itu, wujudlah kerangka Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dimana dalam kerangka tersebut mempunyai lima (5) teras utama iaitu Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Kerjasama Awam Swasta.
“Saya berharap agar ketua-ketua jabatan dapat membuat perjumpaan bersama kakitangan untuk menerangkan berkenaan ARPA ini supaya semua dapat memahaminya kerana ini adalah kerangka untuk membawa negara kita kepada satu perkhidmatan awam yang lebih baik.”
“Pada 24 Oktober 2024, kerajaan telah mengadakan Deklarasi Kuala Lumpur dimana semua Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama memberi tekad bahawa mentransformasikan perkhidmatan awam ini adalah tugas kita bersama. Keseluruhan kerajaan bukan hanya Kerajaan Persekutuan tetapi Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Tempatan mestilah terlibat sama.”
“Satu alat yang digunakan ataupun instrumen yang digunakan untuk melancarkan lagi agenda reformasi ini adalah satu jawatankuasa yang dipanggil Special Task Force On Agency Reformed (STAR) adalah apa yang dipanggil Reformasi Karenah Birokrasi (RKB).”
“RKB ini mengandungi 1,100 projek yang kita telah daftarkan dimana projek-projek ini adalah proses kerja yang pada pandangan kita boleh dipermudah dan dipercepatkan serta daripada jumlah tersebut 141 projek telah berjaya dilaksanakan melibatkan Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran dan agensi-agensi pusat di Kerajaan Persekutuan. Hasil daripada 141 projek ini dilaksanakan dan diperbaiki serta dipermudahkan dari segi kos, kita telah jimat sebanyak RM1.4 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Negeri Kedah Tahun 2025 di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Dato’ Zepri Saad.
Dalam perkembangan sama, Shamsul berkata dalam tempoh setahun kita melaksanakan agenda ARPA, satu kejayaan yang boleh dikongsi di sini adalah peningkatan IMD World Competitiveness Ranking yang dahulunya Malaysia pada tangga ke-34 tetapi kita berjaya melonjak 11 anak tangga ke tangga 23.
“Antara yang menyumbang kepada kejayaan atau pencapaian menggalakkan ini adalah satu Pekeliling RKB dan pelantikan Chief Reform Officer di setiap Kementerian untuk memastikan reformasi dilaksanakan secara konsisten, terancang dan dipantau dengan baik.
“Pelaksanaan SSPA dan menambahbaik perkhidmatan meningkatkan motivasi penjawat awam dan memperkukuhkan profesionalisme dan seterusnya Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam yang telah diluluskan di parlimen di mana setiap agensi hendaklah menilai, mengkaji dan meneliti semua peraturan-peraturan lapuk setiap tiga tahun dan menjadi satu kewajipan kepada ketua jabatan untuk melaporkan pencapaian dalam masa tiga tahun dan laporan itu hendaklah dibawa semula ke parlimen,” ujarnya.
YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara telah menyampaikan sijil tersebut kepada Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah. Turut hadir, Tuan Setiausaha MPSPK Encik Mohammad Hasbullah bin Abd. Hadi , pengarah-pengarah jabatan dan bahagian dalaman MPSPK serta kakitangan MPSPK.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Jabatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Pelesenan dan Bahagian Pusat Setempat (OSC) atas kejayaan dalam projek RKB tersebut dan juga telah berjaya meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan produktiviti, serta memberi manfaat kepada komuniti perniagaan dan rakyat.Semoga dengan kejayaan yang diperolehi menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga kerja MPSPK agar terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Klik untuk gambar sekitar program











