



02 Disember 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pulau Pinang yang diketuai oleh Pengarahnya, Dato’ TPr Gs. Rozita binti Hamit, ke Kulim Intelligent Command Centre (KICC), Majlis Perbandaran Kulim.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi bersama para pengarah, penolong pengarah serta pegawai terlibat. Sesi dimulakan dengan ucapan alu-aluan berkenaan KICC oleh Puan Setiausaha.
Dalam ucapan balas, Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk mendapatkan penjelasan komprehensif mengenai pelaksanaan KICC, termasuk kefahaman terhadap isu, kekangan dan cabaran yang dihadapi dari aspek operasi, tadbir urus serta keselamatan.
Sesi diteruskan dengan taklimat khas mengenai peranan dan fungsi KICC yang disampaikan oleh Tuan TPr. Mohammad Fadhlan Bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Landskap. Taklimat merangkumi kerangka operasi, teknologi pemantauan, integrasi data serta peranan KICC dalam menyokong aspirasi bandar pintar Kulim.
Selepas taklimat, delegasi dibawa melawat ke bilik operasi KICC bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan, sistem pemantauan serta infrastruktur pintar yang digunakan dalam pengurusan bandar secara bersepadu.
MPKK merakamkan penghargaan atas kunjungan ini dan berharap hubungan erat antara kedua-dua agensi akan terus diperkukuh untuk manfaat pembangunan bandar yang lebih efisien, terancang dan lestari.