PROGRAM KESEDARAN DAN RESTORASI KARANG
30 November 2025 – Seramai 40 delegasi telah menyertai Program Kesedaran dan Restorasi Karang yang berlangsung di Pusat Taman Laut Pulau Payar, anjuran Jabatan Perikanan Negeri Kedah.
Sepanjang program ini, para peserta telah diberikan pelbagai maklumat penting berkaitan Pulau Payar, termasuk pengenalan kepada ekosistem marin dan kepentingan pemuliharaan terumbu karang, garis panduan Do & Don’t ketika berada di kawasan Taman Laut dan Amalan terbaik bagi memastikan kelestarian hidupan laut serta keselamatan pelawat.
Selain sesi taklimat, peserta turut berpeluang menyaksikan demonstrasi proses restorasi karang, termasuk cara penyediaan dan pemulihan (restorasi) karang yang rosak, teknik menempatkan karang yang telah direstorasi ke dasar laut dan proses penanaman semula karang yang dijalankan oleh penyelam profesional bagi memastikan pertumbuhan semula yang lebih baik dan selamat.
Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam, malah memberi pengalaman praktikal tentang usaha pemuliharaan marin yang dijalankan secara berterusan di Pulau Payar bagi memastikan khazanah lautan terus terpelihara untuk generasi akan datang.
