



4 Disember 2025 – Perhimpunan Korporat MPKK telah berlangsung di Perkarangan Lobi MPKK dan dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu rasmi serta bacaan ikrar Rukun Negara.
Dalam ucapan YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK, merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) atas kesudian hadir buat kali kedua ke MPKK serta berkongsi pesanan KSN, “Bekerjalah bukan untuk pangkat, tetapi untuk keberkatan.” Dato’ YDP turut menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Perbendaharaan atas laporan bersih Akaun Tahun 2024 dan kepada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta atas pencapaian hampir 90 peratus dalam proses penilaian semula cukai taksiran.
MPKK juga merakamkan tahniah kepada pasukan bola sepak MPKK yang meraih tempat keempat dalam Kejohanan MALA – Piala YB Menteri KPKT, satu pencapaian membanggakan sebagai satu-satunya PBT berstatus perbandaran yang mara ke peringkat tersebut.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) melibatkan tiga inisiatif: pemendekan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang kepada 14 hari, pemendekan proses permohonan Pelan Landskap kepada 14 hari, serta pengurangan masa kelulusan Lesen Tidak Berisiko kepada 15 minit melalui sistem KLiS.
MPKK kekal komited melaksanakan penambahbaikan berterusan dan inovasi demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.