WARGA EMAS KEDAH DIRAIKAN DALAM SUASANA MERIAH SEMPENA PROGRAM HARI WARGA EMAS PERINGKAT NEGERI KEDAH 2025

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 13 Disember 2025 (Sabtu) – Golongan warga emas di negeri ini terus diberi perhatian khusus melalui penganjuran Program Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Starwalk, pagi semalam.
 
Membawa tema “Warga Emas Dihargai, Masyarakat Dikasihi”, program anjuran Pertubuhan Pasukan Ambulans Sukarelawan Mesra Sayang (PPASMS), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Agecope Kedah tersebut telah dihadiri oleh ratusan peserta daripada pelbagai latar belakang yang mahu mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta menyertai aktiviti riadah.
 
Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Che Puan Besar Negeri Kedah Darul Aman, Yang Maha Mulia Che Puan Besar Hajah Haminah binti Haji Hamidun. Turut hadir ialah Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya, President AGECOPE Kebangsaan serta dif-dif kehormat yang lain.
 
Program yang bermula seawal jam 7:30 pagi itu dimulakan dengan sesi kecergasan komuniti yang melibatkan aktiviti senamrobik dan jogging bersama barisan tetamu kehormat. Antara pengisian utama yang mendapat perhatian adalah Saringan Kesihatan ICOPE (Integrated Care for Older People), sebuah inisiatif saringan bersepadu bagi menilai kecergasan fizikal dan mental warga emas secara menyeluruh. Selain perubatan moden, integrasi perubatan tradisional turut diketengahkan menerusi perkhidmatan akupunktur dan urutan ‘Tuina’, memberikan pilihan rawatan alternatif kepada para pengunjung.
 
Penganjur turut mengambil langkah progresif dengan mengadakan Pameran Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) khusus bagi produk penjagaan warga emas. Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan inovasi pintar yang mampu meningkatkan tahap keselamatan dan kualiti penjagaan harian golongan tersebut. Selain itu, satu sesi dialog khas bersama pakar perubatan dan wakil agensi kerajaan turut menjadi platform penting bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan kebajikan, hak undang-undang, dan akses kemudahan awam bagi warga emas di Kedah.
 
Kejayaan program ini membuktikan bahawa sinergi antara agensi kerajaan dan sektor swasta adalah kunci dalam membina komuniti yang lebih prihatin, sekali gus memartabatkan status warga emas sebagai tunggak pengalaman dan kebijaksanaan dalam masyarakat.
 
Skip to content