MBAS SAMBUT DELEGASI SATUN, THAILAND PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA
Alor Setar, 13 Disember 2025 (Sabtu) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menerima kunjungan rasmi delegasi dari Wilayah Satun, Thailand dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama serantau antara kedua-dua pihak.
Ketibaan delegasi seramai 35 orang itu disambut oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya, diiringi Ahli Majlis MBAS, En. Shamsudin Ahmad di Ibu Pejabat MBAS. Rombongan dari Thailand tersebut diketuai oleh Pengerusi Al-Hijrah Islam Cooperative Wilayah Satun, Tuan Burhanuddin Baikadem.
Pertemuan yang berlangsung itu bertujuan untuk mengeratkan jalinan persahabatan serta menjadi platform pertukaran idea bagi pembangunan komuniti dan belia antara Wilayah Satun dan Bandar Raya Alor Setar. Usai lawatan tersebut, delegasi Satun turut melawat ke beberapa tempat menarik di sekitar bandar raya termasuk Muzium Negeri Kedah, Stadium Darul Aman serta lain-lain lagi.
Pihak MBAS merakamkan ucapan terima kasih kepada delegasi Satun atas kunjungan ini serta berharap kunjungan ini dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi pada masa hadapan, khususnya dalam sektor pelancongan, kebudayaan, dan pembangunan mampan antara kedua-dua bandar.
