PERASMIAN PUSAT KITAR SEMULA PANDU LALU AUTOMATIK (ADTREC) JPKKP KAMPUNG KEBUN JAMBU
Pokok Sena, 20 Disember 2025 (Sabtu) – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya, telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTREC) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kebun Jambu, semalam.
Majlis perasmian tersebut telah diadakan bertempat di Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Cawangan Pokok Sena. Inisiatif inovatif ini merupakan satu langkah strategik yang dirancang bagi memupuk serta membudayakan amalan kitar semula secara lebih sistematik di peringkat komuniti setempat.
ADTREC bukan sahaja memudahkan urusan pelupusan sisa kitar semula bagi warga penduduk, malah ia bertindak sebagai platform untuk menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat. Pendekatan ini secara tidak langsung menyuntik elemen ekonomi dalam pemeliharaan alam sekitar melalui konsep sisa kepada wang.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Trash4Cash, Ir Mohd Saiful Anuar Zainal; Ahli Majlis MBAS Zon 17 Sena, Puan Robiah Dahaman; Pegawai SWCorp, wakil-wakil penduduk serta pegawai-pegawai terlibat.
Beroperasi 24 jam sehari, ADTREC berkonsepkan Do It Yourself (DIY) bagi memudahkan orang ramai menguruskan sendiri proses penghantaran bahan kitar semula. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR untuk memuat turun aplikasi Trash4Cash dan memberi butiran mereka. Seterusnya pengguna perlu memasukkan bahan yang ingin dikitar semula ke dalam ‘deposit bucket window’ mengikut kategori yang disediakan disitu.
Barangan yang dihantar akan dibawa ke pusat kitar semula untuk verifikasi. Data dan pembayaran akan dikemaskini secara atas talian terus ke akaun pengguna dalam tempoh 7-14 hari selepas ‘drop off’.
