




18 Disember 2025 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menerima Lawatan Pasca Audit oleh delegasi daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang melibatkan delegasi dari Ibu Pejabat MIDA Kuala Lumpur dan MIDA Kedah dan juga pihak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER -Northern Corridor Economic Region).
Delegasi diketuai oleh Cik Zabidah Binti Daud, Pengarah Bahagian Pasca Pelaburan MIDA Kuala Lumpur disambut oleh Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK bersama-sama Jabatan dalaman yang terlibat diketuai Ts. Siti Safarah binti Amirnuddin, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKK.
Lawatan ini merangkumi sesi semakan CCTV projek di KICC, diikuti lawatan ke tapak projek menaik taraf sistem perparitan di Lorong Perusahaan 6 & 6A, Kawasan Perusahaan Kulim, serta projek menaik taraf jalan raya di Jalan Timah dan beberapa lorong sekitar Kawasan Perindustrian Ringan Taman Suasa, Kulim.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan dan kerjasama strategik antara MPKK, BPEN, MIDA serta NCER dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur berjalan lancar, berimpak tinggi serta menyokong pertumbuhan pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri Kedah khususnya di daerah Kulim.
MPKK sentiasa komited untuk bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan demi kesejahteraan komuniti dan kemajuan kawasan perindustrian.