OPERASI BERSEPADU PREMIS HIBURAN: 18 PREMIS DISERBU, 22 KOMPAUN SERTA 8 NOTIS DIKELUARKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 24 Disember 2025 – Sebanyak 18 buah premis hiburan di sekitar bandar raya Alor Setar telah diperiksa dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang telah dijalankan baru-baru ini, menyaksikan sebanyak 22 tindakan kompaun dan 8 notis dikeluarkan terhadap pemilik premis yang dikesan melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
 
Operasi yang bermula dari jam 10.00 malam itu melibatkan kekuatan seramai 44 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Pejabat Daerah Kota Setar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Negeri Kedah, serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
 
Dalam serbuan yang berakhir sekitar jam 2.00 pagi itu, pasukan penguatkuasa telah melakukan pemeriksaan mengejut ke atas tiga (3) pusat hiburan keluarga, enam (6) kelab malam/karaoke tertutup, tiga (3) pusat karaoke box, dan enam (6) pusat snuker.
 
Hasil pemeriksaan tersebut, pihak MBAS telah mengeluarkan sebanyak 14 kompaun atas pelbagai kesalahan merangkumi tiga (3) kompaun beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, enam (6) kompaun bagi pemasangan iklan tanpa lesen, empat (4) kompaun atas kegagalan pengendali makanan mendapatkan suntikan kesihatan yang diwajibkan serta satu (1) kompaun atas kesalahan kekotoran premis.
 
Sementara itu, Pejabat Daerah Kota Setar turut mengeluarkan lapan ( 8 ) notis pelanggaran syarat lesen hiburan. Antara kesalahan yang dikesan termasuklah tiada lesen hiburan, kegagalan mempamerkan lesen dan tanda larangan bawah umur, serta maklumat premis yang tidak selari dengan lesen premis.
 
Langkah penguatkuasaan bersepadu ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, seterusnya menjamin keharmonian serta keselamatan warga bandar raya.
 
Skip to content