PROGRAM AMANAT YANG MULIA YANG DIPERTUA MPSPK TAHUN 2026
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah menganjurkan Program Amanat Yang Mulia Yang Dipertua (YDP) MPSPK pada hari ini dengan penuh semangat kebersamaan melibatkan semua pengarah jabatan dan bahagian serta kakitangan MPSPK.
Program dimulakan dengan aktiviti kayuhan santai diikuti senaman pagi, yang bukan sahaja menyemarakkan gaya hidup sihat malah mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja MPSPK. Selain itu juga, program pagi ini juga diselitkan dengan persembahan ‘war cry’ oleh setiap jabatan bagi menyuntik semangat baharu dan bekerja dengan sepantas gerakan sukan tari yang dipamirkan.
Dalam amanatnya, Yang Dipertua MPSPK YM Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah menzahirkan hasrat agar seluruh warga MPSPK bekerja dengan lebih pantas, cekap dan responsif, diibaratkan seperti perkhidmatan ambulans yang sentiasa bertindak pantas dan kesegeraan demi kepentingan masyarakat. Penekanan turut diberikan terhadap disiplin, integriti serta budaya kerja berprestasi tinggi dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Prestasi kerja dipertingkatkan, kebajikan kakitangan diutamakan. Itulah moto MPSPK.
Beliau juga menyatakan komitmen berterusan MPSPK untuk melangkah lebih jauh ke arah merealisasikan aspirasi bandaraya, selari dengan peningkatan kualiti perkhidmatan, tadbir urus yang mantap dan kesejahteraan komuniti setempat.
Hadir bersama ialah Tuan Setiausaha MPSPK Encik Mohammad Hasbullah Bin Abd. Hadi, Presiden CUEPACS, Dato’ Dr. Hj. Adnan bin Mat, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian. Program ini diharapkan menjadi pemangkin semangat baharu kepada seluruh warga MPSPK untuk terus bergerak seiring, bersatu padu dan komited dalam mendukung visi serta misi organisasi.
Selamat datang juga diucapkan kepada warga kerja baru MPSPK yang telah melapor diri pada hari ini. Gabungan staf baharu dan lama dalam sambutan sebegini bukan sahaja mengukuhkan semangat kebersamaan, malah menjadi pemangkin agar staf baharu terus bersemangat dalam melaksanakan tugas, sementara staf lama pula kekal bertenaga, progresif dan sentiasa berjiwa muda dalam mendepani cabaran perkhidmatan. Semoga kehadiran anda membantu peningkatan produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
Klik untuk gambar sekitar programKlik untuk video sekitar program














