




8 Januari 2026 – Perhimpunan Korporat Anggota Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) Tahun 2026 telah berlangsung dengan amanat penuh makna daripada Dato’ Yang Dipertua MPKK, bertempat di Perkarangan Lobi MPKK.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Kedah dan Lagu Perkhidmatan Awam, seterusnya bacaan Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen warga MPKK terhadap integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang telus.
Dalam ucapan YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua, turut menzahirkan rasa syukur serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga MPKK atas komitmen dan dedikasi berterusan dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.
Dato’ Yang Dipertua kemudian menyentuh pencapaian MPKK tahun 2025 yang membanggakan, antaranya lawatan kerja Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke MPKK bagi merasmikan Kulim Intelligent Command Center (KICC) dan inisiatif Smart City. Perkembangan ini turut disusuli lawatan pihak World Bank yang memberi pengiktirafan kepada MPKK di peringkat antarabangsa.
Di samping meraikan kejayaan, Dato’ Yang Dipertua menekankan agar seluruh warga MPKK sentiasa “berdamai dengan takdir, yakin bahawa setiap yang berlaku adalah perancangan Allah SWT”, di samping terus memperbaiki diri serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat.
Selari dengan itu, Dato’ Yang Dipertua menegaskan bahawa keutamaan MPKK bagi Tahun 2026 adalah memperkemaskan sistem penyampaian (delivery system) agar lebih cekap, responsif dan mesra rakyat demi kesejahteraan masyarakat setempat serta meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam memastikan kecekapan anggota menjalankan tugas.
Perhimpunan ini turut menyaksikan satu lagi langkah penting ke arah pengukuhan integriti dan ketelusan melalui perasmian penggunaan Body Camera oleh Jabatan Penguatkuasaan MPKK. Inisiatif ini mencerminkan komitmen MPKK dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan profesionalisme anggota penguatkuasa serta melindungi integriti MPKK dalam setiap tindakan di lapangan.
Penggunaan body camera bukan sahaja meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan MPKK, malah selari dengan prinsip akauntabiliti, ketelusan serta Ikrar Bebas Rasuah yang menjadi keutamaan organisasi.
Turut diraikan dengan penghargaan kepada anggota MPKK yang bakal bersara bagi bulan Januari iaitu Encik Ghani bin Che Mamat, Pembantu Khidmat Am, Jabatan Kejuruteraan.
Bersama warga MPKK melangkah ke Tahun 2026 dengan tekad, integriti dan semangat berpasukan.