𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓 𝐒𝐔𝐌𝐏𝐀𝐇 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐍𝐓𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐀𝐇𝐋𝐈 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐃𝐀𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐘𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐒𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔–𝟐𝟎𝟐𝟕
Pada 15 Januari 2026, Majlis Daerah Yan telah melaksanakan Majlis Angkat Sumpah serta Penandatanganan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis bagi sesi 2026–2027 yang berlangsung di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Yan.
Upacara ini telah disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Puan Hajah Maznim binti Ismail, AMK., BCK, dengan disaksikan bersama oleh Setiausaha Majlis Daerah Yan, Encik Amir Ezzat bin Ismail serta Puan Fara Ashikin binti Mohd Zikri, BCK., Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Tanah).
Majlis dimulakan dengan lafaz angkat sumpah oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, seterusnya diikuti oleh enam (6) orang Ahli Majlis Ex-Officio dan lapan belas (18) orang Ahli Majlis Politik, sebagai simbol komitmen terhadap prinsip tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
Sejurus selesai upacara angkat sumpah, majlis diteruskan dengan Mesyuarat Penuh Khas Majlis Daerah Yan bagi memperkukuh penyelarasan pentadbiran serta memperhalusi hala tuju pelaksanaan agenda pembangunan daerah.
Pelantikan ini diyakini dapat memperkasa sinergi strategik antara kepimpinan, pengurusan dan komuniti setempat ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, mampan dan berimpak tinggi.
Majlis Daerah Yan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua Ahli Majlis yang dilantik serta mendoakan agar amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan kecemerlangan sepanjang tempoh perkhidmatan.





