




27 Januari 2026- Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff telah mengetuai lawatan pemantauan ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Padang Cina, Kulim susulan insiden kebakaran yang berlaku pada pagi ini. Lawatan tersebut turut disertai oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim, Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, pengarah-pengarah jabatan serta anggota teknikal Majlis Perbandaran Kulim (MPKK).
Lawatan ini bertujuan menilai keadaan semasa di tapak, mendapatkan taklimat operasi serta menyelaras tindakan kawalan dan pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan. Insiden kebakaran melibatkan kawasan cell sanitary 1 dan 2 dengan anggaran keluasan kira-kira 9 ekar, dan operasi pemadaman dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Antara jabatan dan agensi yang terlibat dalam operasi pemadaman api dan penyelarasan di tapak ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, MPSPK, SADA dan operator tapak iaitu Panimex Constuction dengan kerjasama MPKK manakala jabatan dan agensi yang turut hadir ialah Pejabat Tanah Daerah Kulim, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SWCorp dan TNB.
Tindakan kawalan termasuk kerja-kerja pemadaman, pembinaan ‘fire breaker’, pergerakan jentera berat serta pemantauan kualiti udara telah dan sedang dilaksanakan bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak serta memastikan keselamatan awam.
Majlis Perbandaran Kulim terus berusaha bagi memantau perkembangan insiden ini secara rapi serta bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan keadaan dapat dikawal sepenuhnya dan risiko terhadap penduduk sekitar dapat diminimumkan.
Penduduk disarankan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, mengurangkan pendedahan kepada asap, dan peka terhadap makluman rasmi pihak berkuasa.