




26 Januari 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Perbandaran Kemaman yang diketuai oleh Puan Tuan Sharifah Khairuzita binti Tuan Kechil, Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman. Delegasi ini disambut oleh Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK serta barisan pengarah dan penolong pengarah jabatan dalaman MPKK.
Sesi taklimat berkaitan Permit Pembinaan Ekspres (E10) yang diintegrasikan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta pelaksanaannya dalam proses kelulusan pelan pembangunan telah disampaikan oleh TPr. Mohammad Fadhlan bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Perancangan dan Landskap.
Langkah ini bertujuan untuk mempercepatkan proses kelulusan pelan pembangunan demi kemudahan dan kecekapan.
Lawatan diteruskan ke Bilik Kulim Intelligent Command Centre (KICC) untuk memperlihatkan keupayaan teknologi pengurusan dalam mempercepatkan proses kelulusan kebenaran merancang dan pengurusan CCTV. Kunjungan ke KICC turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Dato’ Elmi Bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK.
Semoga kerjasama dua hala ini dapat mempererat hubungan antara kedua-dua pihak dan membawa manfaat yang signifikan dalam usaha membangunkan bandar yang lebih mampan, inovatif, dan berdaya saing.