Ahad, 25 Januari 2026 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah melancarkan Sistem Kulim Smart Care (KSC) dan Logo Jubli Perak, bersempena Ulang Tahun Ke-25 Majlis Perbandaran Kulim bertempat di Kulim Central. Pelancaran sistem ini dirasmikan oleh YBhg. Dato Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK.

Kulim Smart Care (KSC) ialah sistem yang dilengkapi dengan pelbagai ciri moden dan mesra pengguna, termasuk aplikasi mudah alih, sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI), pemetaan aduan melalui paparan papan pemuka (dashboard), notifikasi status aduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta fungsi penandaan lokasi aduan yang tepat bagi membolehkan tindakan diambil secara lebih berfokus dan berkesan. Aplikasi Kulim Smart Care (KSC) boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi pengguna Android dan Apple App Store bagi pengguna iOS.

Melalui sistem pintar Kulim Smart Care (KSC), Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dapat mengurus dan menyelaras aduan masyarakat secara lebih teratur. Aduan yang dikenal pasti memerlukan perhatian agensi berkaitan akan disalurkan secara e-mel melalui sistem Kulim Smart Care (KSC) terus kepada agensi yang bersesuaian. Secara tidak langsung, aduan dapat diambil tindakan secara berkesan demi kesejahteraan masyarakat.

Dalam Majlis yang sama, MPKK turut melancarkan Logo Jubli Perak sempena Ulang Tahun Ke-25, yang telah dipilih melalui penilaian juri profesional serta penglibatan orang awam.

Dalam ucapan YBhg. Dato’ Yang Dipertua, turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada para pemenang Pertandingan Mencipta Logo Jubli Perak MPKK yang telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

MPKK kini melakar sejarah 25 tahun penubuhan taraf perbandaran dengan mengangkat tema “Kulim Perintis Kemajuan, Menerajui Masa Hadapan Kedah” sebagai cerminan komitmen berterusan ke arah pembangunan mampan dan kemajuan negeri Kedah.

MPKK menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan strategik yang sudi meluangkan masa dan memberikan sokongan dalam menjayakan majlis ini. Sebagai tanda penghargaan, sijil penghargaan telah disampaikan kepada wakil-wakil rakan strategik yang hadir.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis, barisan pengarah MPKK, wakil agensi-agensi kerajaan dan swasta, rakan media serta orang awam yang hadir memeriahkan program.

Klik untuk gambar sekitar program

#kulimsmartcare

#LogoJubliPerakMPKK

#ulangtahun25

#MajlisPerbandaranKulim

Skip to content