PENDIGITALAN DIPERKASA, AMANAT DISAHUT: MPSPK MANTAPKAN HALA TUJU PBT 2026
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selari dengan hala tuju strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tahun 2026.
Warga MPSPK telah menyertai Majlis Amanat YB Menteri Bersama Warga KPKT dan PBT Tahun 2026 secara maya melalui platform Google Meet. Penyertaan ini membolehkan seluruh warga kerja MPSPK mengikuti amanat penting kementerian walaupun berada di lokasi berbeza, tanpa menjejaskan tertib dan protokol majlis.
Fokus utama penglibatan ini adalah untuk menghayati amanat yang disampaikan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, termasuk tayangan montaj Sorotan KPKT 2025 serta hala tuju strategik kementerian bagi tahun 2026. Kehadiran secara dalam talian ini diakhiri dengan sesi bergambar secara maya sebagai simbol sokongan padu MPSPK terhadap aspirasi kementerian serta komitmen untuk melestarikannya dalam tadbir urus harian di peringkat tempatan.
Seiring dengan amanat tersebut, satu Sesi Taklimat Hala Tuju Pendigitalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut berjaya dilaksanakan melibatkan MPSPK dan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK). Sesi taklimat ini telah disampaikan oleh YBRS. Tuan Omran bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan), Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT.
Antara inti pati utama taklimat merangkumi penyelarasan Dasar Pendigitalan PBT dengan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan KPI kementerian, pelaksanaan ePBT 3.0, peluasan PBTPay ke seluruh PBT termasuk Sabah, pembangunan Aplikasi Mobil PBTPay, serta pemantapan Sistem OSC Pelesenan dan Sistem 3.0 Plus Online bagi memudahkan urusan orang awam.
Dengan sokongan peruntukan pembangunan sebanyak RM42 juta, inisiatif ini diyakini mampu memacu transformasi digital PBT ke tahap yang lebih progresif, cekap dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat.
MPSPK kekal komited untuk terus menyahut amanat kementerian melalui tindakan berfokus, inovasi berterusan dan penambahbaikan sistem perkhidmatan ke arah bandar yang lebih pintar dan mampan.
Klik untuk gambar sekitar program












