






5 Februari 2026 – Menicon Malaysia Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Menicon Co., Ltd. dari Jepun, hari ini secara rasmi melancarkan sebuah kilang pintar berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park.
Majlis perasmian ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff yang telah menyempurnakan upacara simbolik memotong reben serta lawatan ke dalam kawasan operasi kilang sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan industri berteknologi tinggi di daerah Kulim.
Turut hadir ialah barisan tetamu kehormat termasuk Encik Koji Kawaura, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Menicon Co., Ltd.; Tuan Yang Terutama Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia; YB Tuan Wong Chia Zen, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, Kulim serta Encik Mohd Riduan Abd. Rahman, Pengarah Eksekutif MIDA.
Kilang pintar Menicon ini menyokong pengeluaran kanta sentuh silikon hidrogel berkapasiti tinggi untuk pasaran global, di samping memacu pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan dan pertumbuhan industri berteknologi tinggi di daerah Kulim.