KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA UNTUK KESEDARAN DAN SIFAT TANGGUNGJAWAB UMUM
JUMAAT (13.02.2026)
ALOR SETAR – Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kedah pada hari ini telah mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina (TBC) Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Pasar Pagi Simpang Kuala, Alor Setar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Abd Ghani berkata program ini merupakan aktiviti berkala tahunan yang dilaksanakan setiap kali menjelang musim perayaan. Tujuan utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuhkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, seterusnya mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan.
“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi di Negeri Kedah bagi tahun 2025 adalah Kulim dengan 5,745 kes, Kota Setar, 5,667 kes dan diikuti Daerah Kuala Muda dengan 8,152 kes berbanding statistik tahun 2024 iaitu Kulim sebanyak 5,392 kes, Kota Setar sebanyak 6,165 kes dan Kuala Muda sebanyak 7,811 kes sahaja.
“Statistik ini menunjukkan trend yang membimbangkan dan memerlukan tindakan bersepadu semua pihak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan. Kempen pada tahun ini dilaksanakan secara pendekatan “walkabout” dengan menyantuni para pengunjung pasar pagi serta peniaga-peniaga setempat.
“Pendekatan ini bertujuan mendekati masyarakat secara langsung bagi menyampaikan mesej keselamatan jalan raya, selain mengedarkan risalah keselamatan dan bahan advokasi kepada orang ramai. Program walkabout ini turut dianjurkan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan seperti PDRM, Pejabat Daerah, PBT, JPJ Negeri Kedah, PUSPAKOM, PLUS serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
“Kerjasama strategik ini amat penting dalam memastikan mesej keselamatan jalan raya dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan. Selain itu, JPJ Negeri Kedah turut mengambil peluang melalui program ini untuk menggalakkan orang ramai mendaftar ID Portal Awam JPJ serta menggunakan aplikasi MyJPJ selaras dengan hasrat pendigitalan perkhidmatan Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melaksanakan Program Walkabout Santuni Peniaga Pasar Pagi Simpang Kuala dan Penukaran Topi Keledar Kepada Pengunjung Pasar Sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Pasar Pagi Simpang Kuala di sini, hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Pengarah JPJ Negeri Kedah, Stien Van Lutam dan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kedah, SUPT Abdel Nasser Salleh.
Dalam perkembangan sama, Dzowahir berkata Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kedah menyeru agar semua pengguna jalan raya sentiasa mengamalkan sikap berhemah ketika memandu, mematuhi had laju yang ditetapkan, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta tidak memandu dalam keadaan letih atau di bawah pengaruh alkohol.
“Semoga dengan pelaksanaan kempen ini, kadar kemalangan jalan raya di Negeri Kedah khususnya sepanjang musim Perayaan Tahun Baru Cina 2026 dapat dikurangkan, seterusnya memastikan rakyat dapat menyambut perayaan dalam suasana yang selamat dan sejahtera,” ujarnya.
Sumber berita : Warta Kedah
- IKUTI KAMI DI 'FACEBOOK'









