KOMPLEKS JETI SEMELING MPSPK DIIKTIRAF SEBAGAI BANDAR RENDAH KARBON

Jabatan Landskap & Rekreasi MPSPK berjaya menerima Anugerah Low Carbon City (LCC2030C), dianjurkan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC). Majlis penyampaian anugerah telah berlangsung pada 12 Februari 2026 bertempat di Hilton Hotel, Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Hadir menerima anugerah ini ialah Tuan Setiausaha MPSPK, Encik Mohammad Hasbullah bin Abd.Hadi. Turut hadir bersama ialah Pengarah Jabatan Landskap & Rekreasi MPSPK, Encik Muhammad Hasrun bin Ahmad dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Encik Mohd Zahir bin Salleh. Jabatan Landskap dan Rekreasi menerima sokongan khusus daripada Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran, serta bantuan daripada Jabatan Pelancongan dan Warisan MPSPK, bagi memastikan pelaksanaan inisiatif rendah karbon berjalan lancar dan berkesan.

Di bawah kepimpinan Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah, pembangunan mampan sentiasa diutamakan dengan penekanan kepada keseimbangan kelestarian alam. Kompleks Jeti Semeling dipilih sebagai contoh pembangunan rendah karbon kerana reka bentuknya menggabungkan alam bina dan alam semula jadi, menjadikannya kawasan yang mesra alam dan mampan.

Melalui inisiatif Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF), MGTC membantu pihak berkuasa tempatan menubuhkan Zon Rendah Karbon di ibu negeri dan bandar utama seluruh negara. Zon ini bertujuan mengurangkan pelepasan karbon daripada penggunaan tenaga dan air bangunan serta kawasan awam, kenderaan persendirian petrol dan diesel, serta penjanaan sisa yang berakhir di tapak pelupusan.

Pencapaian Kompleks Pelancongan Jeti Semeling, Merbok: Pengurangan pelepasan GHG sebanyak 67.63% sejak 2023, bersamaan 66.18 tCO₂eq & Peningkatan potensi sekuestrasi karbon sebanyak 5.88%, menjadikannya 51,840.00 tCO₂ setahun

Tahniah juga diucapkan kepada pihak berkuasa tempatan lain yang mewakili negeri Kedah iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (PBT LB) dan PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim.

Kejayaan ini menunjukkan bahawa kerjasama jabatan dan kepimpinan yang proaktif mampu menghasilkan impak nyata terhadap kelestarian alam dan pembangunan bandar rendah karbon. Semoga pencapaian ini menjadi contoh dan pemangkin kepada usaha bandar hijau yang lebih meluas menjelang 2030!

Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content