AMBANG TAHUN 2026 DI ALOR SETAR DISERIKAN DENGAN MALAM MAHABBAH RASUL SEMPENA ULANG TAHUN KE-22 BANDAR RAYA ALOR SETAR
Alor Setar, 31 Disember 2025 – Suasana sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Alor Setar tampil berbeza apabila ribuan pengunjung hadir membanjiri Dataran Starwalk bagi menjayakan program Malam Mahabbah Rasul yang dianjurkan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-22 pengisytiharan Alor Setar sebagai sebuah bandar raya. Program keagamaan ini menyatukan masyarakat dalam suasana penuh kerohanian menerusi selawat dan doa demi memohon kesejahteraan serta keberkatan berterusan buat bandar raya Alor Setar.
Kemeriahan majlis dimulakan dengan perhimpunan dan pertandingan perarakan selawat yang disertai kontinjen daripada pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Perarakan selawat yang bermula dari Dataran Medan Bandar menuju ke Dataran Starwalk itu mempamerkan semangat penyatuan ummah yang jitu, di mana gema selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dilaungkan sepanjang perjalanan sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan buat seluruh warga bandar raya.
Majlis gilang-gemilang ini diserikan dengan kehadiran EXCO Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samad; EXCO Kepenggunaan, Belia dan Sukan, YB Haji Muhamad Radhi Mat Din; Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; ADUN Derga, YB Muhammad Amri Wahab serta Pengerusi Al-Hijrah Islam Cooperative Wilayah Satun, Thailand, Tuan Burhanuddin Baikadem.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai pengisian ilmiah dan kerohanian seperti persembahan alunan qasidah, persembahan seni silat warisan, pentas aspirasi anak muda serta sesi tazkirah yang menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Jafri Abu Bakar Al-Mahmoodi dan Ustaz Moqti Ahmad. Acara cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan suasana sebelum sambutan diakhiri dengan pertunjukan bunga api pada jam 12.00 tengah malam.
Inisiatif penganjuran Malam Mahabbah Rasul ini merupakan komitmen MBAS untuk menerapkan pengisian rohani dalam sambutan ulang tahun bandar raya, demi melahirkan masyarakat yang sejahtera dan bersatu padu serta memohon keberkatan sebagai persediaan mendepani cabaran tahun 2026.
Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis MBAS, barisan pengarah, ketua-ketua bahagian MBAS serta para dif kehormat yang lain.
