AWAS! ANDA SEDANG DIPERHATIKAN | OPS CEGAH : 9 INDIVIDU DITAHAN BUANG SAMPAH DI TEMPAT AWAM MENJELANG AMBANG 2026
Alor Setar, 31 Disember 2025 – Seramai 9 individu telah ditahan atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan MBAS bersama pihak SWCorp dalam Ops Cegah yang dijalankan menjelang ambang tahun baru 1 Januari 2026.
Operasi yang melibatkan seramai 18 pegawai penguatkuasa dan 4 Pembantu Kesihatan Awam ini menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai di Daerah Kota Setar seperti Dataran Medan Bandar, Pekan Rabu, Aman Central dan Dataran Starwalk ini menggunakan taktik penyamaran sebagai kaedah untuk merakam bukti serta menahan individu yang didapati telah melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 4 notis pemberitahuan kesalahan di bawah Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan 5 kompaun di bawah UUK 3(a), Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 1983 telah dikeluarkan kepada pesalah yang terlibat atas kesalahan membuang/meninggalkan sampah di tempat awam seperti plastik makanan, puntung rokok, tin dan botol minuman serta kekotoran yang lain.
MBAS menasihatkan semua orang ramai yang mengunjungi tempat awam supaya dapat menjaga kebersihan dan tidak membuang/meninggalkan sampah di tempat yang tidak dibenarkan. Mereka yang didapati bersalah pula akan berdepan dengan tindakan pendakwaan di Mahkamah dan boleh dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sekiranya didapati bersalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
