OPERASI BERSEPADU PREMIS SEMBELIHAN AYAM
Alor Setar, 31 Disember 2025 (Rabu) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menerusi Bahagian Inspektorat Kesihatan dan Bahagian Pelesenan telah melaksanakan satu Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Sembelihan Ayam di sekitar bandar raya Alor Setar. Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan semua pengusaha premis sembelihan mematuhi aspek kebersihan, keselamatan, dan pelesenan, sejajar dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, satu (1) notis di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan telah dikeluarkan terhadap sebuah premis pemprosesan dan pembungkusan ayam yang didapati beroperasi tanpa lesen daripada MBAS. Manakala, dua buah lagi premis penyembelihan ayam didapati mempunyai lesen yang sah daripada MBAS dengan tahap kebersihan persekitaran yang memuaskan serta mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Pihak MBAS sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi menjamin kebersihan premis dan keselamatan makanan di bandar raya Alor Setar. Justeru, semua pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.
