KEMPEN PEMBAYARAN CUKAI PINTU DAN CUKAI TANAH DI TAMAN LAGUNA MAS TERIMA SAMBUTAN MENGGALAKKAN

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 9 Januari 2026 – Program Libat Urus Gotong Royong Perdana Bersama Ahli Majlis Zon 3 Dan Kempen Pembayaran Cukai Pintu Dan Cukai Tanah 2026 yang diadakan bertempat di Taman Laguna Mas, Alor Setar mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan sekitar. Program yang berlangsung itu menyaksikan kehadiran ramai warga bandar raya yang mengambil peluang untuk menjelaskan cukai taksiran dan cukai tanah mereka secara terus.
 
Program tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya. Kehadiran beliau membuktikan komitmen pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam mendekati komuniti serta memastikan kelestarian pembangunan bandar raya melalui kutipan hasil cukai taksiran.

Program kali ini turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan pelbagai perkhidmatan terus kepada orang ramai antaranya Kempen Derma Darah dan Ujian Darah daripada Jabatan Kesihatan Kota Setar, serta pameran informatif daripada Jabatan Penjara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah.
 
Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) serta aplikasi Flexi Parking dan aplikasi FAST MBAS. Bagi memeriahkan lagi suasana, program ini turut diserikan dengan Jualan Rahmah Madani, klinik bola sepak junior, dan pertunjukan seni taichi daripada Persatuan Taichi Kedah Utara.
 
Melalui inisiatif ini, diharapkan ianya dapat meningkatkan hasil pendapatan bandar raya, malah secara tidak langsung mendidik masyarakat untuk lebih berdisiplin dalam menjelaskan cukai pintu tanpa tunggakan demi kemudahan awam yang lebih berkualiti.
 
Hadir sama di program tersebut ialah ADUN Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong; Ahli Majlis MBAS Zon 3, Dato’ Ch’ng Boon Chye, Ahli-Ahli Majlis MBAS; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Laguna Mas, En. Poh Cheng Hai; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program, En. Fong Chan Hap; Pengarah-Pengarah dan Pegawai MBAS serta AJK Persatuan Penduduk Taman Laguna Mas.
 
Istimewa pada tahun ini, MBAS menawarkan cenderahati berupa tumbler sebanyak 20,000 unit kepada pembayar cukai taksiran terawal bagi tahun 2026 dengan memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan.
Ayuh warga Bandar Raya Alor Setar, rebut peluang ini dengan menjelaskan cukai taksiran anda demi kelestarian pembangunan Bandar Raya Alor Setar!
 
Skip to content