MAI SINGGAH ALOR SETAR | PUSPANITA KEBANGSAAN BERKUNJUNG KE LORONG SEMPIT SEMPENA PROGRAM KASIH JELAPANG PADI 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 8 Januari 2026 – PUSPANITA Kebangsaan telah mengadakan kunjungan rasmi delegasi persatuan tersebut ke Lorong Sempit, Alor Setar sempena Penganjuran Program Kasih Jelapang Padi 2026. Kunjungan itu dilihat sebagai salah satu usaha bagi menyokong serta mempromosikan inisiatif pelancongan tempatan di bawah aspirasi “Mai Singgah Alor Setar”.
 
Delegasi tersebut telah diketuai oleh Yang Dipertua PUSPANITA, YBhg. Puan Sri Maheran Jamil. Ketibaan beliau dan rombongan disambut mesra oleh Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Pengerusi PUSPANITA Negeri Kedah, YBhg. Datin Seri Norhasni Ishak; dan Pengerusi PUSPANITA MBAS, YBhg. Datin Fauziah Halim. Turut hadir ialah Setiausaha MBAS, En. Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, barisan AJK PUSPANITA MBAS, Ahli-Ahli Majlis MBAS, serta dan pegawai-pegawai terlibat.
 
Dalam kunjungan tersebut, YBhg. Puan Sri Maheran telah menyempurnakan majlis perasmian Lorong Sempit dan Lorong Pekan di bawah Program Mai Singgah Alor Setar. Transformasi lorong ikonik itu kini menjadi daya tarikan baharu yang mempamerkan identiti bandar raya Alor Setar kepada pengunjung luar.
 
Terdahulu, beliau bersama delegasi turut meluangkan masa berkunjung ke salah satu lokasi ikonik paling bersejarah di ibu negeri Kedah, iaitu Pekan Rabu. Kunjungan tersebut bukan sahaja mempromosikan produk tempatan, malah turut memperkukuh keterlibatan destinasi pelancongan bandar raya selaras dengan kempen “Mai Singgah Alor Setar”.
 
Program ini membuktikan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan persatuan tersebut dalam daya usaha memartabatkan keunikan warisan serta pelancongan bandar raya Alor Setar agar terus menjadi destinasi pelancongan menarik pada tahun 2026.
 
Pihak MBAS dan PUSPANITA MBAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PUSPANITA Kebangsaan kerana telah memilih Lorong Sempit sebagai salah satu lokasi kunjungan dalam siri program pada kali ini.
 
Skip to content