OPERASI PEMERIKSAAN KEBERSIHAN DAN LESEN PREMIS, 16 KOMPAUN TELAH DIKELUARKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 11 Januari 2026 (Ahad) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Unit Inspektorat/Kawalan, Bahagian Inspektorat Kesihatan, Bahagian Penguatkuasaan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah menjalankan satu Operasi Pemeriksaan Kebersihan dan Lesen Premis Makanan di sekitar Shahab Perdana, Alor Setar, hari ini.
 
Pemeriksaan telah dilakukan ke atas lima (5) buah premis merangkumi dua (2) premis establisymen makanan, dua (2) penjaja, dan satu (1) kiosk tred. Hasil pemeriksaan tersebut, pihak MBAS telah mengeluarkan sembilan (9) kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen MBAS, tiada lesen iklan, kegagalan memasang perangkap minyak, tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan, serta penggunaan tong sampah yang tidak sempurna (tidak bertutup).
 
Manakala, pihak PKD Kota Setar turut mengeluarkan tujuh (7) kompaun atas kesalahan memakai barang perhiasan semasa mengendalikan makanan, tiada suntikan tifoid (typhoid), serta tiada sijil pengendali makanan.
 
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis dan peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin kualiti kebersihan dan keselamatan makanan di bandar raya ini.
 
Skip to content