CEGAH PENULARAN RABIES | PEMILIK ANJING DIWAJIBKAN MILIKI LESEN DAN SUNTIKAN VAKSIN ANTI RABIES

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 24 Januari 2026 (Sabtu) – Usaha mengekang penularan wabak penyakit anjing gila atau rabies di bandar raya Alor Setar terus dipergiatkan menerusi penganjuran Program Suntikan Anti Rabies Daerah Kota Setar 2026 yang berlangsung di perkarangan Alor Setar Mall, pagi semalam.
 
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar ini menyediakan pelbagai perkhidmatan bersepadu termasuk suntikan vaksin anti-rabies, kaunter permohonan serta pembaharuan lesen anjing, dan pameran kesedaran mengenai anjing liar.
 
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah, Dr. Shaharul Amar Talib.
 
Pegawai Kesihatan Persekitaran MBAS, Encik Muhammad Helmy Jufry Rusli berkata, pemilikan lesen anjing kini diwajibkan selaras dengan peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan 2011, Majlis Bandaraya Alor Setar.
 
Menurut beliau, langkah mewajibkan pelesenan ini adalah kritikal bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memiliki pangkalan data dan rekod lengkap setiap pemilik anjing di kawasan Bandar Raya Alor Setar, sekaligus memudahkan pemantauan ancaman wabak.
 
“Kenapa kita wajibkan lesen? Tujuannya adalah untuk mengelakkan penyakit rabies. Rabies adalah penyakit yang menyerang sistem saraf dan disalurkan melalui air liur, sama ada melalui gigitan anjing atau kucing.
 
“Justeru, untuk mengelakkan anjing-anjing liar di sekitar Alor Setar daripada terus menjadi ancaman penyebaran rabies, pelesenan ini dikuatkuasakan,” jelasnya ketika ditemui di program tersebut.
 
Mengulas lanjut mengenai syarat pelesenan, Encik Muhammad Helmy memaklumkan bahawa jumlah anjing yang dibenarkan bagi setiap kediaman adalah terhad mengikut keluasan kediaman.
 
Bagi kediaman dengan keluasan kurang daripada 929 meter persegi, pemilik hanya dibenarkan memelihara maksimum dua ekor anjing. Manakala bagi kediaman yang melebihi keluasan tersebut, had maksimum adalah empat ekor.
 
Beliau turut menegaskan bahawa MBAS menyelaraskan peraturan dengan PBT seluruh Malaysia mengenai larangan pemilikan baka-baka anjing tertentu yang dikategorikan sebagai anjing yang tidak boleh dipelihara dan tidak boleh dilesenkan.
 
“Antara baka yang tidak dibenarkan termasuk Pit Bull Terrier, American Bulldog, Neapolitan Mastiff, Japanese Tosa, Akita, Dogo Argentino dan Fila Brasileiro,” tambahnya.
 
Beliau turut menekankan bahawa MBAS tidak akan mengeluarkan lesen bagi pemeliharaan anjing di kediaman berstrata atau bertingkat.
 
“Untuk makluman Tuan-Tuan dan Puan-Puan, kawasan-kawasan kediaman yang kita tak benarkan lesen contohnya seperti Rumah Pangsa, Pangsapuri dan Kondominium (kecuali bagi pemeliharaan di tingkat bawah sesebuah bangunan)”.
 
Menyentuh mengenai prosedur pengurusan anjing liar, pihak MBAS akan memeriksa terlebih dahulu sama ada haiwan tersebut bertuan atau memiliki lesen yang sah sebelum tindakan lanjut diambil.
 
Sekiranya anjing tersebut didapati berkeliaran walaupun berlesen, ia akan ditangkap dan ditempatkan di pusat kurungan MBAS. Pemilik yang ingin menuntut semula haiwan peliharaan mereka akan dikenakan caj bayaran tertentu mengikut tempoh masa kurungan.
 
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemilik anjing yang masih belum memohon lesen agar segera berbuat demikian di Bahagian Pelesenan, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan serta menjamin keselamatan komuniti warga bandar raya.
 
Turut hadir di program tersebut ialah Timbalan Pengarah Kawalan dan Promosi, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Puan Narisa Mohd Hashim; Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Promosi, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Puan Jazilah Jalaludin serta pegawai-pegawai terlibat.
 
 
Skip to content