OPERASI BERSEPADU PREMIS MAKANAN | 20 KOMPAUN DIKELUARKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN, DUA PREMIS DIARAH TUTUP SERTA-MERTA, BARANGAN DISITA ISU HALAL
Alor Setar, 28 Januari 2026 (Rabu) – Dua (2) premis perniagaan di sekitar bandar raya ini telah diarah tutup serta-merta manakala beberapa barangan disita dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar, semalam.
Operasi yang menumpukan kepada aspek kebersihan, pematuhan perakuan Halal, dan pelesenan perniagaan ini telah memeriksa dua premis secara menyeluruh. Tindakan tegas telah diambil susulan kegagalan pemilik premis mematuhi piawaian kebersihan dan undang-undang yang ditetapkan.
Dalam operasi tersebut, pihak MBAS telah mengeluarkan 10 kompaun atas pelbagai kesalahan. Antara kesalahan yang dikesan adalah beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, keadaan belakang premis yang kotor, pekerja tiada kad suntikan tifoid, serta kegagalan menyediakan tong sampah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Manakala Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar turut mengeluarkan 10 kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk kegagalan mengadakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM), meletakkan bahan mentah terus di atas lantai (kurang dari 20cm), serta pekerja yang gagal mendapatkan suntikan tifoid dan latihan pengendali makanan.
Selain itu, premis turut didapati mempamerkan perkataan yang menyatakan kualiti atau gred makanan (akuan MeSTI) tanpa pengesahan pihak berkuasa, serta gagal mempamerkan tanda larangan merokok. Susulan penilaian tahap kebersihan yang kurang memuaskan (markah di bawah 75%), kedua-dua premis terbabit telah diarah tutup serta-merta atas kesalahan di bawah seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi pemilik premis tersebut membersihkan premis berkenaan.
Dalam pada itu, pihak KPDN telah bertindak menyita barangan di kedua-dua premis berkenaan. Tindakan sitaan dibuat atas kesalahan memperaku mana-mana makanan atau barangan sebagai ‘Halal’ tanpa pensijilan yang sah daripada pihak berkuasa.
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis/peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
