OPERASI BERSEPADU PREMIS VAPE | 7 KOMPAUN DIKELUARKAN DAN RIBUAN KOTAK CECAIR TIDAK BERDAFTAR DISITA
Alor Setar, 10 Februari 2026 (Selasa) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan satu Operasi Bersepadu Premis Vape di sekitar bandar raya Alor Setar, baru-baru ini.
Operasi penguatkuasaan ini difokuskan kepada pemeriksaan terhadap premis-premis penjualan rokok elektronik yang bertujuan untuk menguatkuasakan larangan penjualan produk vape dan cecair rokok elektronik yang tidak berdaftar di bawah undang-undang kerajaan Malaysia.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas tiga (3) buah premis, pihak MBAS telah mengeluarkan tujuh (7) kompaun bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Premis Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBAS) 2010 serta UUK Iklan (MBAS) 2010. Dalam operasi yang sama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyita sejumlah 1,991 kotak cecair vape tidak berdaftar, manakala 15 kotak lagi disita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
