PROGRAM EKSPLORASI GUNUNG KERIANG MAJLIS BANDARAYA ALOR SETAR
Alor Setar, 10 Februari 2026 (Selasa) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Program Eksplorasi Gunung Keriang yang berlangsung pagi semalam bertujuan untuk membudayakan amalam hidup sihat dan semangat berpasukan di kalangan warga kerja MBAS.
Program ini telah disertai oleh seramai 50 orang pegawai dan kakitangan yang terdiri daripada barisan Pengarah, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Unit serta kakitangan MBAS. Aktiviti fizikal ini melibatkan pendakian ke puncak Gunung Keriang yang memiliki ketinggian 217.92 meter dari paras laut.
Sesi eksplorasi tersebut turut diserikan dengan kehadiran Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin serta Ahli Majlis MBAS, Encik Amir Ahmad yang bersama-sama menyertai delegasi pendakian.
Penganjuran program ini merupakan inisiatif MBAS dalam memperkasakan modal insan melalui pembudayaan gaya hidup sihat yang seimbang dengan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Pihak MBAS menyeru dan mengingatkan para pengunjung serta pendaki agar sentiasa menjaga kebersihan dan mengelakkan vandalisme bagi memastikan ekosistem dan keindahan alam semula jadi Gunung Keriang sentiasa terpelihara.
