PROGRAM LIBAT URUS TAMAN WIRA MERGONG DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN
Alor Setar, 23 Januari 2026 (Jumaat) – Program Libat Urus yang diadakan di Taman Wira Mergong hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat, sekali gus membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap usaha mendekatkan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan kepada rakyat.
Program anjuran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah serta Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kedah itu berlangsung di hadapan Medan Selera Taman Wira Mergong.
Inisiatif ini digerakkan oleh Ahli Majlis MBAS merangkap Pegawai Kawasan Zon 7 Shahab Perdana, Puan Noor Azra Md Salleh dengan bantuan Penolong Pegawai Kawasan, Tuan Haji Bohari Md Yusof, bertujuan memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat melalui pendekatan turun padang.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya menegaskan bahawa pembayaran cukai taksiran amat penting bagi menyokong perbelanjaan awam dalam membiayai perkhidmatan MBAS kepada rakyat. Menurut beliau, pada tahun ini MBAS akan melaksanakan kerja-kerja turapan jalan di beberapa taman termasuk Taman Kita dan Taman Wira.\
Beliau turut memaklumkan bahawa MBAS akan memohon peruntukan tahun 2026 daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menaik taraf Medan Selera Taman Wira serta kawasan parkir di sekitarnya. Dalam masa sama, beliau memuji peniaga di Taman Wira yang memberi kerjasama dalam penyusunan semula penjaja bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf parit oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengatasi masalah banjir kilat.
Dato’ Abdul Gafar juga memohon kerjasama para peniaga Bazar Ramadan di seluruh Bandar Raya Alor Setar dan Pokok Sena agar sentiasa menjaga kebersihan serta menjadi contoh terbaik kepada peniaga lain.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti merangkap Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah, Yang Berhormat Tuan Haji Dzowahir Ab. Ghani memuji inisiatif MBAS dalam menganjurkan program yang mendekatkan masyarakat dengan PBT serta memudahkan urusan seperti pembayaran cukai taksiran dan pelbagai perkhidmatan lain.
Menurut beliau, usaha sebegini juga selari dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyantuni masyarakat menerusi Program Jelajah Daerah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKR atas pelaksanaan projek menaik taraf parit di sepanjang Jalan Sultanah Sambungan serta menghargai keprihatinan MBAS terhadap keperluan penduduk setempat. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Libat Urus berkenaan.
Program tersebut turut diserikan dengan Jualan Rahmah MADANI serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan pelbagai perkhidmatan secara terus kepada orang ramai.
Turut hadir, ADUN Derga Yang Berhormat Muhammad Amri Wahab, Pengarah JPJ Negeri Kedah Yang Berusaha Tuan Stein Van Lutam, Tuan Setiausaha MBAS Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, Ahli-Ahli Majlis MBAS, para pengarah dan ketua bahagian MBAS, ketua-ketua komuniti serta penduduk setempat.
