SIMPOSIUM BERSATU HADAPI BENCANA, KE ARAH KOMUNITI BERDAYA TAHAN 2026
Alor Setar, 27 Januari 2026 (Selasa) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Simposium “Bersatu Hadapi Bencana, Ke Arah Komuniti Berdaya Tahan 2026” bertempat di Dewan Mesyuarat Bangunan UTC Kedah, semalam.
Simposium yang disertai oleh kira-kira 100 peserta ini bertujuan untuk memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam mendepani cabaran bencana alam melalui perkongsian kepakaran daripada pelbagai agensi teknikal dan akademik. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YBhg. Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa, dengan diiringi oleh Naib Canselor UUM, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed serta Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar.
Program ini diisi dengan tiga slot pembentangan utama yang merangkumi tajuk “Hotspot Banjir Dibedah: Strategi & Penyuraian Berimpak” oleh Ir. Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, JPS Malaysia, Ir. Dr. Salwa Ramly yang mengupas strategi teknikal menangani isu banjir diikuti sesi kedua bertajuk “Saat Kecemasan: Tindakan Bijak Hadapi Bencana Tidak Dijangka” oleh Ketua Bahagian Pengurus Latihan APM Negeri Kedah, Kapt. (PA) Mohd Mukhrij Md Sabir yang memfokuskan kepada tindakan pantas dan prosedur kecemasan. Sesi ketiga bertajuk “Belajar Tanpa Sempadan: Peluang Pembelajaran Sepanjang Hayat Di Luar Negara” yang telah disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM, Profesor Madya Dr. Mazida Ahmad bagi memupuk budaya ilmu berterusan dalam kalangan komuniti.
Penganjuran simposium ini membuktikan komitmen jitu dalam membina komuniti yang lebih berdaya tahan, sekali gus menyokong visi Alor Setar sebagai sebuah bandar raya yang selamat dan sejahtera.
