UPACARA PENUKARAN BENDERA KEDAH DI DATARAN MEDAN BANDAR, ALOR SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 04 Februari 2026 (Selasa) – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Upacara Penukaran Bendera Negeri Kedah yang telah berlangsung pagi semalam bertempat di Dataran Medan Bandar, Alor Setar. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Abdul Rahim bin Mat diiringi Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya.
 
Upacara yang diadakan ini bertujuan untuk memastikan Bendera Negeri Kedah yang dikibarkan di Dataran Medan Bandar sentiasa berada dalam keadaan yang sempurna dan terbaik kerana ia merupakan lambang kemegahan dan kedaulatan Negeri Kedah Darul Aman.
 
Pasukan kawad bendera yang terdiri daripada 2 orang pegawai dan 6 orang anggota Penguatkuasa MBAS telah terlibat dalam melaksanakan upacara tersebut. Upacara kali ini turut diserikan dengan iringan persembahan oleh pasukan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma sepanjang upacara berlangsung. Kehadiran pegawai-pegawai kerajaan dari pelbagai agensi serta pelajar-pelajar sekolah dari sekitar bandar raya Alor Setar juga turut menyemarakkan suasana dan menunjukkan semangat patriotisme dari setiap lapisan masyarakat di negeri Kedah.
 
Upacara Penukaran Bendera Negeri Kedah di Dataran Medan Bandar dilakukan empat kali setahun setiap suku tahun bagi memastikan bendera ini berada dalam keadaan baik. Upacara ini juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mengekalkan nilai-nilai tradisi serta mengingatkan kita betapa pentingnya menjaga simbol-simbol kebanggaan negeri agar tetap dihormati dan dijaga oleh setiap lapisan masyarakat.
 
Turut hadir ialah Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Dasar dan Keurusetiaan) Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) Negeri Kedah, Puan Norhasteza binti Bahdun; Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri bin Mohd Norlin, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
 
Skip to content