KEMPEN HARGAI MAKANAN, ELAK PEMBAZIRAN SEMPENA RAMADAN DI NEGERI KEDAH

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 7 Mac 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah bersama-sama menjayakan Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran (Value Food No Waste – VFNW) sempena bulan Ramadan peringkat Negeri Kedah tahun 2026 anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Kedah yang berlangsung di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, petang semalam. Program ini turut turut dilaksanakan dengan kerjasama Environment Idaman Sdn. Bhd., Food Bank Malaysia, Adam Biz Resources dan PUSPANITA MBAS.
 
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia, Tuan Khalid bin Mohamed. Turut hadir ialah Datuk Bandar Alor Setar; Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya; Pengarah Bahagian Kewangan dan Pendidikan Masyarakat SWCorp Malaysia, Puan Ummi Kalthum binti Shuib; Pengarah SWCorp Negeri Kedah, Tuan Shamsuharizal bin Basir; Ketua Divisyen Operasi Environment Idaman Sdn. Bhd., Encik Munir Amani bin Dasheer serta Pengerusi PUSPANITA MBAS, YBhg. Datin Fauziah binti Halim.
 
Pelaksanaan kempen ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan lebihan makanan secara lebih berhemah dan mampan, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang lazimnya menyaksikan peningkatan sisa makanan. Menerusi Program MySaveFood & Drink @ Ramadan yang dilaksanakan dari 23 Februari hingga 5 Mac 2026, sebanyak 686.3 kilogram lebihan makanan dan minuman berjaya dikumpulkan daripada peniaga Bazar Ramadan Stadium Darul Aman untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan termasuk institusi tahfiz, rumah kebajikan serta masjid di sekitar daerah Kubang Pasu dan Alor Setar.
 
Selain itu, beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan bagi menggalakkan amalan pengurusan sisa secara lestari. Antaranya ialah Program Trash to Cash yang berjaya mengumpulkan 50 kilogram bahan kitar semula, serta Program Jom Jual Minyak Masak Terpakai yang mencatatkan kutipan sebanyak 70 kilogram minyak masak terpakai.
 
Dalam usaha memperkukuhkan kesedaran masyarakat terhadap pengurangan sisa tekstil, Program Sedekah Baju Raya Terpakai turut dianjurkan dengan kutipan sebanyak 790 helai pakaian, yang kemudiannya diagihkan secara percuma kepada masyarakat bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Bagi menggalakkan pengurusan sisa makanan secara mampan di peringkat komuniti, sebanyak 30 set Kompos Kit turut disediakan dengan kerjasama rakan strategik bagi memupuk amalan pengkomposan dalam kalangan masyarakat.
 
SWCorp turut merakamkan penghargaan kepada para peniaga Bazar Ramadan Stadium Darul Aman yang telah memberikan kerjasama dengan menyumbangkan lebihan makanan dan minuman bagi menjayakan Program MySaveFood & Drink @ Ramadan.
 
Pelaksanaan program ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, rakan strategik, peniaga bazar serta masyarakat mampu memberikan impak yang signifikan dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan serta memelihara kelestarian alam sekitar.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Skip to content