KONVENSYEN INTEGRITI DAN PENCEGAHAN RASUAH PERINGKAT KERAJAAN TEMPATAN 2026
Alor Setar, 12 Februari 2026 (Khamis) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menganjurkan Konvensyen Integriti & Pencegahan Rasuah Peringkat Kerajaan Tempatan 2026, yang telah berlangsung di Dewan Besar As-Sakinah, Menara MBAS.
Penganjuran konvensyen berimpak tinggi ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), serta Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE). Kolaborasi ini bertujuan memperkasakan budaya integriti serta memantapkan tadbir urus terbaik dalam kalangan warga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah SPRM Kedah, YBhg. Dato’ TPJ Nazli Rasyid bin Haji Sulong diiringi oleh Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya.
Pengisian program dimulakan dengan sesi pembentangan bertajuk “Tadbir Urus PBT: Dari Prinsip Kepada Keberanian Bertindak” oleh Pegawai SPRM Kedah, Tuan PsK Syahrul Khuzaini bin Amiruddin.
Konvensyen kemudiannya diteruskan dengan dua sesi forum yang mengupas isu-isu kritikal berkaitan integriti PBT, dimulakan dengan forum bertajuk “Integriti PBT: Persepsi Awam Atau Realiti” yang dikendalikan oleh Pegawai Undang-Undang MBAS, Dr. Elina bt Mohd selaku moderator bersama barisan panel terdiri daripada Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Puan Hamidah binti Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan), Jabatan Kerajaan Tempatan, Tuan Omran bin Omar; serta Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus, Tuan Muhamad Mizar bin Morat.
Sesi seterusnya membincangkan topik “PBT Di Era Tekanan Baharu: Kapasiti, Sistem Dan Realiti Lapangan” yang dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Strategik MBAS, Tuan Hj. Bohari bin Md. Yusof selaku moderator bersama ahli panel iaitu Ketua Penolong Pengarah, Sektor Dasar Perjawatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tuan Hafiz Hafizi Suhaimi dan Ketua Unit Integriti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Tuan Sha’rin bin Sahad.
Program turut dimantapkan dengan pengisian Kuiz Kenegaraan Interaktif yang dikendalikan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia, bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan kefahaman terhadap asas kenegaraan dalam kalangan peserta.
Penganjuran ini membuktikan komitmen semua pihak terlibat dalam memastikan jentera pentadbiran PBT sentiasa bersih, telus, dan bebas daripada sebarang unsur rasuah demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Pengerusi REHDA Kedah/Perlis, Encik Yeoh Su Guan; Timbalan Setiausaha MBAS, Encik Azlizam Jaafar Siddik, Ahli-Ahli Majlis, wakil-wakil PBT serta pegawai-pegawai terlibat.
