OPS TOMYAM MBAS | 45 PREMIS MAKANAN THAI TIADA LESEN, 145 KOMPAUN DAN 5 NOTIS DIKELUARKAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN
Alor Setar, 18 Februari 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menggempur premis makanan di sekitar daerah Kota Setar dan Pokok Sena menerusi Operasi Premis Makanan Thai (Ops Tomyam), baru-baru ini. Operasi penguatkuasaan yang dijalankan selama 2 hari iaitu pada 14 dan 17 Februari 2026, memfokuskan kepada pematuhan syarat pelesenan dan tahap kebersihan premis makanan.
Hasil pemeriksaan ke atas 64 buah premis, sebanyak 45 premis (70.3%) didapati beroperasi tanpa lesen, manakala hanya 19 premis (29.7%) yang mempunyai lesen sah. Statistik ini menunjukkan kadar ketidakpatuhan yang membimbangkan dan pihak MBAS telah mengambil tindakan serta-merta bagi memastikan semua pengusaha makanan di bawah pentadbiran MBAS mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Sebanyak 145 kompaun dan 5 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil (UUK) berkaitan, di mana isu pelesenan mencatatkan kesalahan tertinggi melibatkan operasi premis tanpa lesen di bawah UUK Pelesenan Establisymen Makanan serta UUK Penjaja, selain paparan iklan tanpa lesen.
Aspek kebersihan turut menjadi perhatian utama berikutan pengabaian peraturan seperti tiada tong sampah dan penggunaan tong sampah yang tidak bertutup, keadaan premis serta kawasan sekeliling yang kotor, tiada tempat basuhan yang sesuai, serta tindakan tidak bertanggungjawab membuang sisa ke dalam longkang. Selain itu, tindakan tegas turut diambil terhadap pengendali makanan yang gagal mendapatkan suntikan kesihatan (Typhoid) serta kesalahan meletakkan barangan perniagaan di tempat awam yang menyalahi UUK Mencegah Kekotoran.
Operasi pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa. Justeru, semua pemilik premis dan peniaga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin kualiti kebersihan dan keselamatan makanan di bandar raya ini.
