PERAYAAN 'CHAP GOH MEI' DI SAMBUT PENUH KEHARMONIAN PENDUDUK TAMAN LAGUNA MAS.

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 1 Mac 2026 (Ahad) – Semangat perpaduan dan keharmonian warga bandar raya Alor Setar terus diperkukuh menerusi sambutan perayaan Chap Goh Mei yang diraikan penuh meriah oleh penduduk Taman Laguna Mas, baru-baru ini.
 
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pegawai Teknologi Maklumat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merangkap Penolong Pegawai Kawasan Zon 3 (Alor Mengkudu-Simpang Kuala), Encik Muhammad Anas Abd Rahim yang hadir mewakili Datuk Bandar Alor Setar.
 
Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif penduduk setempat yang berjaya menterjemahkan nilai perpaduan dalam kehidupan berjiran.
 
“Taman Laguna Mas bukan sekadar sebuah kawasan perumahan tapi ia adalah simbol keharmonian warga bandar raya kita. Saya cukup kagum melihat kepimpinan yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasa dalam memastikan komuniti di sini sentiasa bersatu padu. Inilah keistimewaan kita di Kedah dan juga di Malaysia walaupun kita berbeza latar belakang dan juga kepercayaan, nilai murni seperti rasa hormat dan tolong-menolong tetap menjadi pegangan utama,” ujar beliau.
 
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, YB Teh Swee Leong berkata, keunikan sambutan tahun ini lebih bermakna kerana diraikan dalam suasana kepelbagaian budaya yang unik di negeri Kedah.
 
“Sambutan perayaan Chap Goh Mei buat julung kali pada tahun ini kita raikan bersama sambutan bulan Ramadan, dan ini merupakan satu peluang untuk kita bersatu sebagai masyarakat berbilang kaum. Di Kedah, kita memerlukan satu keunikan di mana masyarakat majmuk dapat bersama dalam segala perayaan, dan kita kena pastikan semangat ini berterusan. Kemeriahan pada malam ini kita dapat melihat bahawa penduduk Taman Laguna Mas dan penduduk sekitar dapat bekerjasama dan bersama dalam menjayakan sambutan Chap Goh Mei yang penuh meriah ini,” katanya.
 
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Laguna Mas, Encik Poh Cheng Hai dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan pentingya sambutan tersebut buat komuniti di situ.
 
“Chap Goh Mei merupakan penutup kepada perayaan Tahun Baru Cina yang melambangkan penyatuan keluarga, harapan baru serta doa untuk kesejahteraan dan kemakmuran sepanjang tahun. Dalam semangat, inilah kita berhimpun sebagai satu komuniti yang harmoni dan saling menghormati,” jelas beliau.
 
Majlis yang dihadiri ratusan penduduk itu menjadi bukti jelas betapa semangat toleransi dan kebersamaan kekal menjadi identiti utama warga bandar raya Alor Setar dalam meraikan kepelbagaian budaya.
 
Turut hadir di program tersebut ialah Ahli Majlis MBAS Zon 3, Dato’ Ch’ng Boon Chye; Ahli-Ahli Majlis MBAS; Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Laguna Mas, En. Fong Chan Hap, pegawai-pegawai MBAS serta penduduk setempat dan penduduk sekitar.
 
Skip to content