PROGRAM ZIARAH KASIH RAMADAN MPSPK bersama PUSPANITA MPSPK TAHUN 2026
“Dalam keheningan Ramadan, tangan yang memberi dan hati yang menerima dipertemukan oleh kasih. Semoga setiap bakul kasih ini menjadi cahaya kecil yang menerangi kehidupan mereka yang memerlukan.”
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan kerjasama PUSPANITA MPSPK telah menganjurkan Program Ziarah Kasih Ramadan Tahun 2026 sebagai satu inisiatif kebajikan bagi menyantuni golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Program ini melibatkan penyampaian sumbangan kepada 28 orang penerima yang terdiri daripada kakitangan MPSPK serta ahli keluarga mereka yang telah dikenal pasti memerlukan perhatian dan bantuan. Sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban serta menceriakan sambutan Ramadan serta Syawal para penerima.
Bagi menjayakan program ini, MPSPK membahagikan kepada 6 kumpulan bagi sesi menziarahi penerima dari rumah ke rumah. Kumpulan pertama diketuai oleh Yang Dipertua MPSPK, Yang Mulia Tunku Iskandar Shah Bin Tunku Muszaffar Shah bersama Pengerusi PUSPANITA MPSPK, Puan Rafizah Binti Hashim manakala kumpulan kedua pula diketuai oleh Tuan Setiausaha MPSPK, Encik Mohammad Hasbullah Bin Abd Hadi bersama Naib Pengerusi PUSPANITA MPSPK, Puan Syafiqah Radzi.
Manakala kumpulan-kumpulan lain turut diketuai oleh Pengarah-Pengarah Jabatan MPSPK yang bersama-sama turun padang menyampaikan sumbangan serta menziarahi penerima. Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyampaikan bantuan, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan MPSPK, PUSPANITA dan warga kerja MPSPK. Usaha sebegini mencerminkan keprihatinan organisasi dalam menjaga kebajikan kakitangan serta keluarga mereka, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat.
Klik untuk gambar sekitar programKlik untuk video sekitar program















