KEBERKATAN RAMADAN | PROGRAM MBAS PRIHATIN 'JOM BERSAHUR' SANTUNI WARIS PESAKIT DAN KAKITANGAN DI HOSPITAL SULTANAH BAHIYAH

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 13 Mac 2026 (Jumaat)– Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui Bahagian Komuniti dan LA21 terus mempergiatkan usaha murni menyantuni komuniti bandar raya menerusi penganjuran program MBAS Prihatin: Jom Bersahur yang berlangsung di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), awal pagi semalam.
 
Program yang dijalankan dengan kerjasama pihak pengurusan HSB ini bertujuan untuk berkongsi rezeki serta meringankan beban para waris dan ahli keluarga yang sedang menunggu pesakit, selain menghargai warga kerja hospital yang bertugas di awal pagi bulan Ramadan ini.
 
Ketua Bahagian Komuniti dan LA21 MBAS, Encik Mohd Faizal Abu Bakar berkata, tumpuan utama edaran makanan pada kali ini adalah bagi memastikan kebajikan waris pesakit di sekitar kawasan HSB terjaga selaras dengan keberkatan bulan Ramadan.
 
“Kira-kira 200 pek makanan dan minuman telah diedarkan hasil INFAQ daripada rakan strategik kita, iaitu Lorong Pekan dan Sofwah Arabic Grill. Kita berharap sumbangan kecil kepada komuniti di sekitar bandar raya Alor Setar ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” ujar beliau.
 
Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Kabirurahman Abdul Rashid merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MBAS atas keprihatinan memilih HSB sebagai lokasi penganjuran program kebajikan tersebut.
 
“Saya mewakili pengarah dan seluruh warga kerja HSB mengucapkan terima kasih kepada MBAS. Program sebegini merupakan satu bentuk kebajikan yang amat bermakna buat para pengunjung, pelawat, serta kakitangan kami. Kami amat berharap kolaborasi murni ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
 
Pihak MBAS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak HSB atas kerjasama yang diberikan dan kepada pihak Lorong Pekan dan Sofwah Arabic Grill atas sumbangan INFAQ bagi menjayakan inisiatif murni ini. Program ‘Jom Bersahur’ ini merupakan salah satu daripada siri inisiatif MBAS Prihatin sepanjang bulan Ramadan bagi memperkukuh hubungan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan masyarakat setempat menerusi aktiviti kemasyarakatan yang berimpak tinggi.
 
Turut hadir di program tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis MBAS; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBAS, Tuan Afizudin Dato’ Paduka Hj Mohd Saad; Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBAS, PMgr. Sr. Zamzama Mohd; pegawai-pegawai Hospital Sultanah Bahiyah (HSB); wakil penaja dari Lorong Pekan dan Sofwah Arabic Grill serta pegawai-pegawai terlibat.
 
 
Skip to content