




16 Mac 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah mengadakan Perhimpunan Korporat Bulanan yang berlangsung di Perkarangan Lobi MPKK yang menghimpunkan semua anggota MPKK dalam satu platform bagi menyampaikan amanat, menghargai jasa warga kerja serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam organisasi.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Allah Selamat Sultan dan Lagu Perkhidmatan Awam, diikuti bacaan ikrar serta bacaan doa. Seterusnya ucapan aluan oleh Ts. Siti Safarah Binti Amirnuddin, Penolong Pengarah Jabatan Kejuruteraan selaku urus setia majlis.
Majlis turut diserikan dengan ucapan amanat oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim. Beliau turut menzahirkan rasa bangga atas kehadiran YAB Dato’ Seri Diraja Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri bersama kepimpinan tertinggi negara ke Kulim, yang secara tidak langsung mencerminkan keyakinan terhadap potensi pembangunan serta kemajuan kawasan ini.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan jabatan-jabatan teknikal agar memberi perhatian terhadap aspek penyelenggaraan kemudahan awam seperti memastikan lampu jalan dan lampu hiasan berfungsi dengan baik serta kerja-kerja penyelenggaraan landskap termasuk pemotongan dan pemangkasan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih, indah, selesa serta memastikan tahap keselamatan awam sentiasa terjaga, khususnya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Antara pengisian majlis adalah penyampaian cenderahati kepada pesara, penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 kepada anggota MPKK serta penyampaian sumbangan Bakul Kasih Tahun 1447H / 2026M anjuran PUSPANITA MPKK kepada warga kerja yang terpilih.
Selain itu, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan keperluan asas daripada Tetuan Beaver Properties Group iaitu YBhg. Datuk Mansor bin Mahmood dan Encik Oon Cheng Sang, Pengarah Urusan Tetuan Beaver Properties Group kepada komuniti Zon Ahli-Ahli Majlis.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama Yang Dipertua MPKK mengikut jabatan sebagai tanda penghargaan dan pengukuhan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja MPKK.