PEMBUKAAN PUSAT KHIDMAT AHLI MAJLIS MBAS DI UTC KEDAH BAKAL TINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN KEPADA WARGA BANDAR RAYA ALOR SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH

Alor Setar, 29 Mac 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) terus mengorak langkah proaktif dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatannya kepada warga bandar raya dengan pembukaan rasmi Pusat Khidmat Ahli Majlis yang baharu bertempat di aras 4, Bangunan UTC Kedah.
 
Ketua Whip Ahli Majlis MBAS, Tuan Haji Muhammad Riduan Othman berkata inisiatif tersebut merupakan satu transformasi penting bertujuan menyediakan platform yang lebih kondusif bagi melancarkan urusan antara Ahli Majlis dan masyarakat setempat.
 
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan MBAS atas inisiatif dan keprihatinan mewujudkan kemudahan tersebut kepada semua Ahli-Ahli Majlis MBAS.
“Tujuan utama pusat khidmat ini diwujudkan adalah untuk meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan Ahli-ahli Majlis. Perbincangan dengan ahli majlis sebelum ini berlaku di merata-rata tempat. Ada di coffee house, tepi jalan, warung-warung. Jadi, isu-isu yang dibincangkan di tempat sedemikian rupa kurang berkesan.”
 
“Justeru, dengan wujudnya pusat baharu pada hari ini, Insya-Allah kita mengharapkan prestasi Ahli-ahli Majlis menjadi lebih baik dengan adanya ruang untuk berkumpul dan mengadakan temu janji dengan semua sektor,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Khidmat Ahli Majlis MBAS.
 
Perasmian Pusat Khidmat tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya. Hadir sama Tuan Pegawai Daerah Pokok Sena, Encik Nasrankamil Noh; Ketua Polis Daerah Kota Setar, YDH ACP Syed Basri Syed Ali; Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Mengulas lanjut mengenai pengoperasiannya, beliau memaklumkan bahawa pusat khidmat tersebut tidak terikat dengan waktu operasi yang khusus, sebaliknya berfungsi berdasarkan temu janji dan warga bandar raya boleh menghubungi Ahli Majlis bagi mengadakan temujanji tersebut.
 
“Ahli-ahli Majlis mempunyai zon perkhidmatan mereka secara khusus. Oleh itu, mereka boleh menjemput orang awam atau individu di zon tersebut yang mempunyai keperluan untuk berbincang dengan Ahli Majlis secara lebih serius dan tertumpu; maka inilah tempat yang telah tersedia. Dari segi penggunaannya, Insya-Allah, Ahli Majlis akan mempunyai akses pada setiap masa.”
 
“Dengan adanya pusat perjumpaan yang luas dan selesa ini, kami mengalu-alukan semua segmen masyarakat di bawah pentadbiran MBAS, baik orang awam mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gabungan komuniti, untuk memanfaatkannya bagi sebarang urusan bersama Ahli Majlis,” tambah beliau.
 
Pembukaan pusat khidmat ini diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan keberkesanan sistem aduan dan perkhidmatan Ahli Majlis, selari dengan matlamat MBAS untuk sentiasa memberikan khidmat bakti yang cemerlang kepada warga bandar raya Alor Setar.
 
Skip to content