




Sesi Mesyuarat Pra Rundingan MyMudah bagi Projek Pembinaan Kilang Industri EVE Energy Malaysia Sdn. Bhd. Fasa 3 telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Utama MPKK, dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua MPKK.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK serta delegasi Tetuan EVE Energy Malaysia Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Ms. Fiona Hu, Timbalan Pengurus Besar EVE Energy, bersama Mr. Ch’ng Dickeon, Pengarah Oriental Max, serta barisan perunding dan wakil Pemaju Kilang Lama.
Dalam ucapan aluan, Dato’ Yang Dipertua menzahirkan penghargaan atas kehadiran semua pihak serta menegaskan sokongan penuh MPKK terhadap pelaburan berimpak tinggi ini. Projek Fasa 3 merupakan kilang ketiga di tapak Kulim EVE Industrial Park (KEIP), sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi Kulim sebagai hab industri strategik.
Dengan nilai pelaburan mencecah RM 4.5 bilion, projek ini dijangka memulakan pengeluaran pada 30 September 2027, seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Pelaksanaan projek ini turut disokong oleh inisiatif E10 sebagai pemangkin ke arah kelancaran proses dan pencapaian sasaran, selaras dengan aspirasi “ease of doing business” di Kulim.
Turut hadir adalah wakil agensi teknikal dan jabatan berkaitan, antaranya PLAN Malaysia@Kedah, Pejabat Tanah dan Daerah Kulim, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Indah Water Konsortium (IWK), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta jabatan dalaman MPKK.