SUNTIKAN INSPIRASI, WARGA EMAS 66 TAHUN BERLARI 2,200KM MERENTAS SEMENANJUNG DEMI TABUNG KANSER

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 5 April 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif murni dan luar biasa seorang aktivis kesedaran kanser, Lim Shyang Guey, 66, yang sedang menjayakan misi larian solo sejauh 2,200 kilometer (km) merentasi Semenanjung Malaysia.
 
Ketibaan beliau di Alor Setar menerusi cabaran Run for Gold pada 31 Mac lalu bertempat di Dataran Medan Bandar telah disambut oleh barisan pengurusan MBAS. Seterusnya, ketibaan beliau di Hospital Aurelius pada 1 April pula telah disambut oleh Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya bersama pihak pengurusan MBAS serta pihak pengurusan Hospital Aurelius Alor Setar.
 
Larian epik merentasI 11 buah negeri yang bermula di Pulau Pinang pada 28 Mac lalu itu bukan sekadar satu ujian ketahanan fizikal, sebaliknya ia membawa sebuah misi besar untuk mengumpul dana sebanyak RM600,000. Dana tersebut akan disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), khususnya bagi menyokong perkhidmatan sokongan dan kesedaran kanser buat pesakit kanak-kanak serta keluarga mereka.
 
Lebih menyentuh hati, larian bersejarah ini membawa makna peribadi yang sangat mendalam buat Lim. Ia merupakan kesinambungan kepada impian yang pernah dirancang bersama mendiang isterinya, Joo Lee. Hasrat tersebut pada mulanya tidak kesampaian selepas mendiang meninggal dunia akibat penyakit kanser pada Ogos 2024 ketika berusia 63 tahun.
 
Pelari jarak jauh itu disasarkan akan melengkapkan pusingan Semenanjung Malaysia dan menamatkan lariannya tepat pada masanya bagi menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-67 pada 22 Jun 2026 kelak.
 
Pihak MBAS amat mengagumi semangat juang dan kecekalan Lim Shyang Guey serta berharap agar misi kemanusiaan beliau dipermudahkan. Usaha mulia ini diharap dapat menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus cakna dan bersolidariti dalam membantu pesakit kanser yang sedang berjuang.
 
Ayuh berikan sokongan kepada pejuang-pejuang kanser!!!
 
Layari pautan di bawah untuk pemberian sumbangan dan info terkini perjalanan Run For Gold (SG Live) :
 
 
 
 
 
 
 
Skip to content