MENYAHUT CABARAN DATUK BANDAR ALOR SETAR, SMK SULTANAH BAHIYAH SERTAI PERTANDINGAN TOYOTA ECO YOUTH 2026
Alor Setar, 12 April 2026 – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), petang semalam.
Perjumpaan ini bertujuan membincangkan ruang kerjasama strategik serta mendapatkan khidmat nasihat teknikal bagi menjayakan projek ‘Revitalisasi Warisan dan Kelestarian Alam Sekitar’ di Tanjung Chali.
Projek tersebut merupakan penyertaan SMK Sultanah Bahiyah dalam pertandingan Toyota Eco Youth 2026. Ia juga merupakan inisiatif langsung pasukan tersebut dalam menyahut cabaran yang disuarakan oleh Datuk Bandar pada tahun lalu untuk melihat lebih ramai generasi muda membawa idea kelestarian ke peringkat kebangsaan.
Delegasi sekolah tersebut telah diketuai oleh dua guru pembimbing iaitu Cikgu Lee Tin Tin dan Cikgu Asmida binti Mohd Fadzil. Mereka turut disertai oleh empat orang pelajar penggerak utama projek, iaitu Nurul Dayana Adni binti Azami, Qaisara Qaireen binti Mohd Arif, Annur Imanina binti Mohd Al-Hafis, dan Aimy Salsabila binti Muhammad Yahya.
Pihak MBAS sentiasa mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha proaktif yang diterajui oleh generasi muda dalam mempromosikan pemuliharaan alam sekitar.
Selamat maju jaya diucapkan kepada pasukan SMK Sultanah Bahiyah dalam pertandingan Toyota Eco Youth 2026!
