PEMERKASAAN KEPIMPINAN DAN INTEGRITI PENJAWAT AWAM MELALUI SEMINAR SEJENAK BERSAMA YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT

Telah berlangsung dengan jayanya Program Seminar Sejenak Bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertemakan “Kepimpinan, Jati Diri, Keberkecualian (Neutrality) dan Profesionalisme Penjawat Awam” bertempat di Dewan Bankuet, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah Darul Aman.

Program ini telah menghimpunkan penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan bahagian dalam usaha memperkukuh nilai kepimpinan, jati diri serta profesionalisme dalam perkhidmatan awam. Majlis dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan ketibaan dan pendaftaran peserta serta tetamu jemputan. Seterusnya, para peserta telah mengikuti sesi perkongsian APEL@INTAN yang disampaikan oleh Program Pengurusan Kualiti, INTAN Bukit Kiara.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri serta YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Ketibaan YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menyempurnakan lagi perjalanan program ini. Acara diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Kedah, bacaan Ikrar Rukun Negara dan bacaan doa sebagai tanda memohon keberkatan sepanjang majlis berlangsung.

TKemuncak program adalah sesi seminar yang telah disampaikan oleh YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul yang mengetengahkan kepentingan integriti, prinsip keberkecualian serta pembentukan jati diri yang kukuh dalam kalangan penjawat awam. Perkongsian beliau yang penuh berwibawa dan berinformasi telah memberi inspirasi serta panduan berguna kepada semua peserta yang hadir.

Program diteruskan dengan sesi interaksi dan soal jawab yang memberi peluang kepada peserta untuk mengemukakan pandangan, pertanyaan serta berkongsi pengalaman secara langsung. Sesi ini dilihat sangat bermanfaat dalam memperluas pemahaman serta memperkukuh hubungan dua hala antara penceramah dan peserta.

Turut hadir memeriahkan program ialah Setiausaha MPSPK, Encik Mohammad Hasbullah bin Abd. Hadi, Pengarah-Pengarah Jabatan dan Bahagian serta pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Diharapkan penganjuran program seperti ini akan terus memberi impak positif dalam melahirkan penjawat awam yang berintegriti, berwibawa dan profesional selaras dengan aspirasi perkhidmatan awam negara.

Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content