SESI LAWATAN TURUN PADANG DATUK BANDAR ALOR SETAR KE LOKASI PENGANJURAN PERTANDINGAN MEMANCING KOLAM TITI MEGA, TITI HAJI IDRIS

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 27 April 2026 – Datuk Bandar Alor Setar, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Gafar bin Yahya bersama barisan pegawai Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengadakan sesi tinjauan ke Pertandingan Memancing Kolam Titi Mega yang berlangsung di Titi Haji Idris, hari ini.
 
Kunjungan tersebut bertujuan untuk melihat pelaksanaan pertandingan berkenaan, di samping meninjau tahap pematuhan penganjur terhadap garis panduan yang ditetapkan.
 
Susulan tinjauan tersebut, Yang Berbahagia Datuk Bandar menyatakan komitmen pihak MBAS untuk terus membimbing dan membantu pihak penganjur bagi menambah baik beberapa aspek dalam penganjuran acara pada masa hadapan.
 
Antara fokus utama penambahbaikan yang digariskan adalah pelaksanaan sistem pengurusan lalu lintas yang lebih baik. Langkah ini penting bagi memastikan kelancaran trafik agar tidak mengganggu kesejahteraan masyarakat setempat. Selain itu, pemantauan penjaja juga akan dilakukan bagi memastikan pengurusan penjaja sentiasa mematuhi syarat-syarat kebersihan dan pelesenan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis.
 
Lebih utama, bagi menangani pelbagai persepsi awam yang timbul mengenai status penganjuran pertandingan tersebut dari sudut hukum syarak, pihak MBAS akan mengambil inisiatif proaktif. Yang Berbahagia Datuk Bandar memaklumkan bahawa MBAS akan mengaturkan satu sesi pertemuan rasmi antara pihak penganjur bersama Mufti Negeri Kedah Darul Aman, Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang.
 
Pertemuan tersebut diharapkan dapat memudah cara penyampaian nasihat, serta garis panduan yang jelas berhubung tatacara penganjuran aktiviti seumpamanya agar sentiasa selari dengan undang-undang yang telah ditetapkan.
 
Pertandingan memancing yang berlangsung di Kolam Titi Mega itu mencatatkan penyertaan peserta yang luar biasa, menawarkan hadiah utamanya yang mencecah RM1 juta.
 
 
Skip to content