TERIMA KASIH WARGA BANDAR RAYA ALOR SETAR | LEBIH 5,000 PESERTA MERIAHKAN PROGRAM 'ALOR SETAR CAR FREE SATURDAY'

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 2 Mei 2026 – Penganjuran program Alor Setar Car Free Saturday telah melakar kejayaan yang membanggakan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 5,000 orang warga bandar raya dari pelbagai lapisan umur yang berkumpul di Dataran Medan Bandar sejak awal pagi.
 
Majlis pelancaran program telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin bersama Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff. Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin; Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya serta dif-dif kehormat yang lain.
 
Inisiatif ‘Alor Setar Car Free Saturday’ ini akan dianjurkan setiap bulan pada hari Sabtu pertama dengan objektif utama untuk mengajak warga bandar raya bersama-sama mengurangkan pelepasan jejak karbon di pusat bandar. Selain itu, ia membuka ruang yang luas dan selamat kepada masyarakat untuk beriadah serta membudayakan gaya hidup yang lebih cergas dan sihat.
 
Kemeriahan program bermula seawal pagi dengan kempen Solat Subuh Macam Jumaat, disusuli pelbagai aktiviti kecergasan seperti Senamrobik, Fun Run, Eco Briskwalk, dan Fun Ride. Pengunjung turut disajikan dengan pameran reruai rakan kolaborasi, gerai jualan, acara cabutan bertuah serta pelbagai lagi aktiviti-aktiviti menarik.
 
Pihak MBAS ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penaja serta rakan-rakan strategik yang telah memberikan komitmen dan kerjasama jitu dalam merealisasikan penganjuran program ini. Sokongan berterusan daripada semua pihak amatlah dihargai demi mencapai visi Alor Setar ke arah Bandaraya Berdayahuni 2035.
 
Skip to content