9 Mei 2026 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) hari ini mencipta rekod Malaysia Book Of Records menerusi Program Jom Tanam Pokok: “1 Warga MPKK 1 Pokok” yang diadakan di Kawasan Lapang, Kulim Hi-Tech Fasa 4A, bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Majlis Perbandaran Kulim.

Program ini turut menyasarkan penanaman sebanyak 700 batang pokok Tabebuia Pentaphylla, atau Tekoma, dalam tempoh satu minit sebagai usaha melakar nama dalam Malaysia Book of Records. Sijil pengiktirafan MBR diserahkan oleh Pegawai Rasmi MBR, Encik Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Yang Dipertua MPKK, Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, selepas program penanaman selesai.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, antaranya YB Dato’ Azman bin Nasrudin, Ahli Parlimen Padang Serai; YBhg. Dato Haji Mohd Sahil bin Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd.; YBhg. Datin Azlina binti Md. Zuki, Pengerusi PUSPANITA MPKK; Tuan Haji Badrol Hisam bin Mohd Yusoff, Ketua Whip Ahli Majlis; serta Puan Noorul Azyyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha MPKK.

Program ini turut dihadiri oleh wakil-wakil industri dan agensi berkaitan termasuk Federation of Malaysian Manufacturing, KHTP Industrial Tenants Association, Pemaju Kelang Lama Sdn. Bhd., Gultech (Malaysia) Sdn. Bhd., EVE Energy (M) Sdn. Bhd., AT&S Malaysia, Ahli-Ahli Majlis MPKK, pengarah-pengarah jabatan serta warga kerja MPKK.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Yang Dipertua MPKK menegaskan bahawa pemilihan kawasan Perindustrian Hi-Tech Fasa 4A sebagai lokasi program membawa mesej yang amat signifikan dan berwibawa. Ia mencerminkan komitmen MPKK dalam memperkukuhkan imej Kulim sebagai destinasi utama pelaburan industri berteknologi tinggi di peringkat global.

Beliau turut menekankan bahawa MPKK bukan lagi sekadar sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menguruskan perbandaran dan infrastruktur, sebaliknya telah berevolusi menjadi peneraju perbandaran industri berteknologi tinggi dan lestari. Selaras dengan aspirasi tersebut, usaha penanaman pokok tekoma atau “Sakura Malaysia” dilaksanakan sebagai inisiatif menghijaukan semula kawasan industri agar lebih indah, kondusif dan mesra alam, di samping berfungsi sebagai penapis karbon semula jadi melalui landskap yang lebih hidup dan mampan.

Justeru itu, jadikan setiap pohon yang ditanam hari ini sebagai lambang harapan, semangat dan komitmen untuk terus menabur bakti dengan lebih subur, lebih rimbun dan lebih bermakna kepada masyarakat serta generasi akan datang.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#kulimindahbersihmajuselamat

#MalaysiaBookOfRecords

Skip to content